
MULAI 1 Julai 2025, semua kategori pengguna terpaksa menghadapi tarif elektrik baharu yang konon-konon lebih adil dan progresif, lapor Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini.
Memetik sumber portal berita Harian Metro, pengenalan jadual tarif baharu itu meliputi beberapa perkara berikut;
Pertama,
Perubahan kategori pengguna terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana san tinggi.
Kedua,
Penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian san peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.
Konon-konon Insenyif Cekap Tenaga akan diperkenal sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemat, jelas ST lagi.
Melalui insentif itu, ST menjelaskan bahawa pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.
Sementara bagi pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah pula, menurut ST lagi, turut akan mendapat manfaat daripada insentif tersebut.
Komentar
Sejujurnya, Kerajaan Persekutuan melalui ST hanya mampu menetapkan kadar tarif tenaga sahaja, bukan mampu mengawal kepenggunaan tenaga pun dalam kalangan rakyat baik pengguna domestik ataupun bukan domestik.
Selaku pengguna domestik, aku sendiri pun bukan boleh mengawalkan kepenggunaan bulanan sumber tenaga, sungguhpun setiap hari jenuh berkempen supaya sekalian anggota keluarga berhemah dalam menggunakan sumber utiliti itu.
Hampir setiap bulan ‘terbabas’ melepasi bumbung tarif termurah, tidak ada jalan lain melainkan terpaksa mengeluarkan lebih belanja utiliti bulanan.
Semacam aku di rumah yang payah mengawal kepenggunaan sumber tenaga, aku mengandaikan pengguna bukan domestik pun menghadapi perkara yang tak jauh berbeza.
Untuk mengelak risiko menyerap lebihan input cost susulan tarif baharu ini, biasanya akan diterjemah dalam harga runcit barangan dan perkhidmatan pengguna.
Kesan berantai, antaranya, kos sara hidup rakyat dijangka meningkat susulan pelarasan tarif elektrik baharu nanti.
Semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Ke-6 Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dilaksanakan.
ICPT adalah merujuk kepada mekanisme penyesuaian tarif elektrik yang membolehkan tarif dinaikkan atau diturunkan mengikut kos bahan api sebenar (baca: gas, arang batu).
Tidak seperti hari ini, Kerajaan Persekutuan era Najib secara agresif campurtangan bagi menstabilkan harga tenaga demi semua kategori pengguna tidak terbeban walaupun kos sebenar meningkat.
Kerajaan Persekutuan memanfaatkan betul-betul Dana Kumpulan Wang Industri (KWIE) dengan menyalurkan subsidi kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan tujuan untuk menyerap kos tambahan di samping memastikan kestabilan harga tenaga, terutama bagi tempoh tahun 2015 hingga 2017.
Pada tahun 2015 dan 2016, harga arang batu memang meningkat, tetapi tarif elektrik bagi pengguna domestik kekal sama disebabkan pelaksanaan ICPT dan subsidi bersasar waktu itu.
Walaupun Najib sekarang masih dibelenggu tirani dengan macam-macam pendakwaan bermotif politik dan mungkin terus dicemuh segelintir kita, tidak salah sekiranya Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Ke-10 (PMx) YAB Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim memperbaiki polisi tenaga yang telah sedia bagus.
TNB bukan rugi pun. BERNAMA pernah lapor keuntungan bersih syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan itu meningkat hampir dua kali kepada RM1.58 bilion dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2024 (TK2024), daripada RM856.20 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Sepatutnya Kerajaan Perpaduan hari ini patut sedar peri penting mengawal harga tenaga yang melibatkan sektor pengguna bukan domestik.
Dengan berbuat demikian, Kerajaan Persekutuan boleh tunjuk kepada rakyat macam mana mekanisme mengawal kos sara hidup rakyat dengan menstabilkan harga tenaga yang merupakan input-cost dalam hampir semua rantaian pengeluaran barangan dan perkhidmatan pengguna.
Pasca pelarasan tarif elektrik baharu yang bermula pada 1 Julai nanti, akan kita lihat macam-macam kesan berantai rata-rata kita sekurang-kurangnya adalah pengguna domestik, kalau tidak secara langsung sebagai pengguna bukan domestik.
Umno, yang gigih nak merelevankan perjuangan parti dengan citarasa rakyat teramai terutama Melayu, usahlah berpeluk tubuh sahaja.
Senipis-nilai helai kertas putih pun, kalau nak diterbangkan, perlu ditiup dengan mulut kita. Apatah lagi nak memugar sokongan politik rakyat teramai untuk untuk kembali menyokong Umno pada PRU15 nanti.
Kita perlu bercakap pendirian parti keramat ini kerana pelarasan tarif elektrik baharu menyangkut kepentingan majoriti rakyat Malaysia yanv berbilang kaum, agama dan kelompok ekonomi.
Setuju?
Comments
Post a Comment