DAP patut ‘sekolahkan’ PMx kalau tidak mahu cukai tambahan kian bebankan rakyat teramai

YANG bersungguh sangat nak melaksanakan polisi ekonomi neoliberal mengikut acuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti dasar defisit fiskal secara berperingkat adalah Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim (gambar di atas) sendiri.

Yang bersungguh-sungguh nak meningkatkan hasil SST sebanyak RM10 bilion juga adalah Anwar.

Selaku Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx) merangkap Menteri Kewangan, memang dia sendiri yang menentukan acuan ekonomi apa nak dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini, sementara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican adalah hanya pelaksana dasar tersebut sahaja.

Justeru, pemimpin DAP berkenaan sepatutnya tak payah ‘sekolahkan’ Ketua Setiausaha Perbendaharaan ataupun Kementerian Kewangan (MoF).

Sumber: Malaysiakini

Bekas ahli Parlimen DAP Charles Santiago (gambar di atas) sepatutnya ‘sekolahkan’ Anwar kerana polisi kerajaan termasuk dasar-dasar fiskal semuanya dicorak oleh ahli politik pemerintah bernama Anwar.

Demikian respons saya pada laporan berita Malaysiakini seperti di bawah;

Menerusi telefon kepada seorang perwakilan pemuda parti yang akan menyertai Mesyuarat Tahunan Umno Bahagian Batu Kawan pada 29 Jun 2025 (Ahad) di Pearl View Hotel, Perai, saya berkata bayangkan jika Anwar ‘membakulsampahkan’ semua dasar ekonomi neoliberal ala IMF tersebut, acuan ekonomi negara mungkin tidak seperti sekarang.

Secara umum, semua kita tahu bahawa segala perbelanjaan defisit yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi sektor awam adalah hampir menyamai jumlah simpanan duit bersih (net savings) bagi sektor bukan kerajaan - sectoral balances!

Net savings yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan ini akan menjana pertumbuhan ekonomi secara ‘sihat’ iaitu bukan melalui pertumbuhan hutang sektor isi rumah rakyat (baca: hutang orang perseorangan, firma swasta, peniaga dll).

Contohnya, rekabentuk kuarters dekat balai polis lama begitu usang, hilang daya huni serta dikosongkan, telah mengakibatkan Kerajaan Persekutuan mengalami pembaziran aset.

Lalu, Kerajaan Persekutuan melalui GLC Pusat seperti Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) melaksanakan program runtuh bina baharu unit kediaman selesa untuk anggota polis.

Peruntukan fiskal akan wujud berdasarkan program fiskal apa yang Kerajaan Pusat nak laksanakan.

Limpahan kemakmuran ekonomi akan berlaku susulan perbelanjaan defisit yang Kerajaan Pusat buat, sekali gus meningkatkan pendapatan semua sektor swasta yang terlibat.

Jadi, Kerajaan Pusat boleh meningkatkan hasilnya sejumlah RM10 bilion itu juga dengan memperluas kenaan cukai keuntungan korporat khususnya kepada GLC Pusat serta syarikat-syarikat swasta mencatatkan keuntungan bersih tahunan di atas bumbung RM500,000.

DOSM pernah mendedahkan, selama ini pun lebihan kendalian kasar (LKK) 62.9 peratus daripada KDNK dinikmati oleh kelas pemodal berbanding 37.1% diterjemah dalam bentuk pampasan pekerja (PP).

Justeru, kenaan cukai keuntungan korporat yang diperluaskan ini secara tak langsung merapatkan jurang pendapatan kelas pekerja dan majikan (atau kelas pemodal).

Jangan macam pentadbiran Anwar sekarang, sudahlah melaksanakan dasar ekonomi ikat perut (austery policy) dan memotong macam-macam perbelanjaan perlu atas nama program subsidi bersasar, kemudian nak ‘diperas’ pula dari saku rakyat teramai melalui SST yang diperluaskan.

Patutkah Anwar ‘disekolahkan’ sebab dasar ekonomi konservatif iaitu percaya sangat tak bagus untuk negara dan rakyat kalau Kerajaan Pusat berbelanja defisit ikut keperluan semasa?

Comments