
BARU sebentar tadi berita Sim kecam menantu Hadi: ‘Peluru tak kenal bangsa’ dilaporkan di portal berita Malaysiakini.
Bukan niat saya pun nak mempertikaikan Ustaz Zaharuddin Mohamad dalam posting ini.
Saya percaya menantu kepada Presiden Pas Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu memang ada ijtihad politiknya sendiri.

PRU15 lepas menyaksikan lencongan undi Melayu-Islam telah pergi ke kolam sokongan PAS.
Walaupun macam-macam usaha dilakukan oleh Perdana Menteri Ke-10 (PMx) Malaysia, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim termasuk menampilkan dirinya sebagai pemimpin Melayu lengkap berbusana Melayu dan bersampin serta memakai capal; beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) menyaksikan lencongan undi Melayu-Islam kepada PAS tidak merosot secara ketara.

Menyedari perkara ini, mungkin mendorong Ustaz Zaharuddin (gambar di atas) menajamkan politik identiti yang kian mengembang supaya kian kukuh memihak kepada PAS ketika ini dan pada masa hadapan.
Ataupun, Ustaz Zaharuddin sedang berusaha menyemarak lagi politik kebencian terhadap DAP yang menjadi sebahagian parti komponen dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Ustaz Zaharuddin lebih arif motif di sebalik ijtihad politiknya itu, dan kalau iya, respons Steven Sim Chee Keong dari DAP akan terus menjarakkan sokongan Melayu-Islam dari kolam politik Kerajaan Perpaduan yang turut disertai UMNO.
Sama ada peluru politik yang dilepaskan Ustaz Zaharuddin mengena sasaran sebenar atau tidak, kalau saya, afdhalnya perjuangan teras Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) yang mewakili 15,000 kelas pekerja bawahan bank belakangan ini, dimuatkan dalam kelongsong peluru politik parti Islam itu.
Sebelum ini, dilaporkan, lima cawangan NUBE bertindak membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia berkenaan.
Kesatuan dalam satu kenyataan berkata, laporan polis dibuat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan mendakwa Steven secara rahsia berbincang dengan Persatuan Bank-Bank Komersial (MCBA) tanpa pengetahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE berkenaan dengan pembayaran Bantuan Perayaan untuk tahun ini.
Dakwa kesatuan lagi, akibat tindakan itu, kira-kira 15,000 pekerja bank dalam kategori B40 (isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah) dan M40 mengalami kerusi kerugian kerana dinafikan hak mereka.
Pada 21 April 2024, Steven dilaporkan berkata bahawa dirinya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia susulan laporan dibuat NUBE terhadap dirinya berhubung penyalahgunaan kuasa selalu Menteri.
“Saya sudah sebut tidak ingin berikan komen terhadap isu ini, isu ini tekah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, jadi biar mahkamah yang tentukan dari segi keadilan,” respons Steven (gambar di bawah) yang juga Pengerusi DAP negeri Pulau Pinang kepada Astro Awani ketika itu.

Isu teras NUBE ini melibatkan kepentingan 15,000 anggota kesatuan yang mereka ini bukan sahaja Melayu, bahkan bangsa Cina, India dll.
Angka 15,000 ini akan diterjemahkan kepada 15,000 pengundi berdaftar pada PRU16 nanti, ertinya akan menjana sokongan sejumlah itu juga.
Itu belum mengambil kira pasangan kepada anggota NUBE termasuk anak-anak mereka yang mungkin akan menjadi pengundi awal, pengundi kali pertama dan pengundi muda berusia 18 tahun kelak.
Kata saya kepada Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor Ahmad, “yang boleh mengisi isu teras NUBE dalam kelongsong peluru politik ini bukan sahaja pihak pembangkang seperti PAS, Umno pun boleh buat perkara yang sama bagi merelevankan perjuangan parti keramat ini dengan citarasa Melayu.”
Atas semangat Kerajaan Perpaduan, mana tahu ‘peluru politik’ Umno yang belum dilepaskan, akan menggamit Menteri berwajib untuk mengambil pusingan U.
”Nak menjana sokongan politik bukan macam seorang #jantanliaq kena mengorat seorang gadis cantik secara ‘One-To-One’; tapi dengan cara mengadakan atau memperbaiki polisi fiskal rakyat yang lebih memihak kepada 15,000 anggota kelas pekerja bawahan dalam NUBE berbanding segelintir elitis MCBA,” jelas saya secara sederhana.
Setuju?
Comments
Post a Comment