Anwar perlu sokongan Melayu jika hasrat tawan kembali Permatang Pauh, respons kepada kajian Merdeka Center
PENARAFAN positif sebanyak 55% kepada Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, dianggap belum mencukupi jika Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx) memasang cita-cita untuk kembali bertanding dan 'merampas' kawasan Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Demikian respons seorang penganalisis politik menerusi telefon pada pagi ini (26 Jun 2025), ketika diminta mengulas mengenai hasil kajian terbaru Merdeka Center.
23 Jun lepas, kajian Merdeka Center mendapati majoriti pengundi Malaysia memberikan penarafan positif sebanyak 55 peratus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini berbanding 43 peratus pada Jun 2024.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar berkata angka peratusan itu adalah mewakili semua segmen kaum, dan patut dilihat pada paras rendah jika mengambil kira segmen pengundi Melayu.
"Berdasarkan tahap sokongan semasa itu adalah belum mencukupi kerana angka 55% itu adalah mewakili semua segmen kaum.
"Melihat pada segmen Melayu, angka itu patut dilihat pada tahap yang rendah... angka 55% itu mungkin disumbangkan oleh segmen bukan Melayu," jelasnya.
Sehubungan itu, Hisommudin berkata Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memberi tumpuan untuk mengepong naratif pengundi Melayu, jika mahu merampas kembali kerusi Parlimen Permatang Pauh dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
"Kalau ingin menimbang untuk (kembali bertanding di kawasan Parlimen) Permatang Pauh, perlu lebih tumpuan pada mengepong naratif etnik Melayu aka sokongan kepada Anwar melonjak lebih tinggi lagi.
"Sistem komunikasi kerajaan perlu lebih efisien.
"Elemen emoji 'gelak' yang kian membanjiri media sosial seperti facebook pada setiap hantaran berita berkaitan kerajaan perlu ditangani," jelasnya lagi.
PRU15 pada tanggal 19 November 2023 menyaksikan calon PAS-PN, Ustaz Muhammad Fawwaz Mat Jan menang dengan majoriti 5,272 undi.
Dengan dapatan 32,366 undi, Nurul Izzah Anwar gagal mempertahan 'legasi' ayahnya dalam saingan tiga penjuru, termasuk daripada Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said (mendapat 16,971 undi).
Hisommudin berkata lencongan undi Melayu kepada PAS sejak PRU lepas sebenarnya sehingga kini seakan tidak merosot dan kembali kepada Kerajaan Perpaduan.
"Setakat ini, di peringkat Ilham Centre menyatakan lencongan undi Melayu yang terjadi pada PRU15 dan beberapa siri PRK seakan tidak merosot dan kembali kepada Kerajaan Perpaduan.
"Maksudnya, walaupun pembangkang lemah dalam mengayuh isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat serta bertindak secara jitu menyerang kerajaan, sentimen pengundi Melayu masih tidak bersama Kerajaan," jelasnya lagi.
Sumber dalaman PKR yang dihubungi kemudian memberitahu bahawa Anwar pada PRU akan datang mungkin bertanding di kerusi 'lebih selamat' iaitu Parlimen Bayan Baru, yang kini masih disandang oleh Setiausaha Politiknya, Sim Tze Tzin.
Selain itu, Anwar juga disyor mengintai satu lagi 'kerusi lebih selamat' - dengan lambakan sokongan undi Cina - di Parlimen Bukit Mertajam, jika mendapat laluan mudah daripada penyandang, Steven Sim Chee Keong kelak.
Sehingga saat ini, Steven Sim Chee Keong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang belum memberi apa-apa bayangan, sungguhpun disebut-sebut akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menjadi Ketua Menteri pada penggal pentadbiran PRU16.
"Opsyen paling selamat buat Anwar untuk sekurang-kurangnya menjadi Perdana Menteri untuk satu penggal lagi adalah membawa masuk PAS sebagai sebahagian Kerajaan Perpaduan sebelum musim PRU16; limpahan undi Melayu kepada Kerajaan Madani mungkin melonjak naik," jelas sumber dalaman 'parti derita rakyat' berkenaan.
END

Comments
Post a Comment