PENULIS bertugas sebagai wartawan, merakamkan gambar kenang-kenangan di Dewan Seri Pinang dekat George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 25 Julai lepas, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-79 Tuan Yang Terutama (T.Y.T.) Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas.
#DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial
Wacana Ekonomi | Dikatakan sebelum Basel Accords dilaksanakan pada awal tahun 1970-an, hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang begitu rendah adalah kerana Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengkreditkan duit yang diperlukan oleh Kerajaan Malaysia untuk tujuan pembangunan negara.
Selepas tempoh itu, angka hutang terkumpul negara senantiasa meningkat dan tidak pernah berkurangan secara drastik.
Kerana hutang Kerajaan Pulau Pinang hari ini telahpun berjaya berkurangan kira-kira 90% berbanding sebelumnya, jangan percaya pada spekulasi ekonomi sesetengah pihak kononnya hutang Malaysia pun akan turun secara drastik selepas rejim kleptokrasi tumbang nanti.
Penurunan angka hutang terkempul Pulau Pinang kerana birokrasi kewangan Kerajaan Negeri - Pusat membabitkan penghijrahan aset air semata-mata; bukan sebab peningkatan produktiviti dalam ekonomi Pulau Pinang yang terlalu drastik secara real.
Ekonomi rakyat akan makmur jika pembangkang mempunyai dasar ekonomi yang lebih progresif dan inovatif, berbanding yang diamalkan oleh rejim kleptokrasi di Putrajaya pada hari ini. Ini real ekonomi!
Justeru, kita wajib tumbangkan pemimpin kleptokrasi yang zalim secara proses pilihan raya, lalu, heret semua yang terbabit dalam skandal penyelewengan kuasa (seperti 1MDB, ecoBit, skandal rasuah politik dekat Johor dan Selangor) ke muka pengadilan. Ini komitmen bersama pembangkang.
Malaysia Bankrap?
Tradings Economic mendedahkan hutang negara per KDNK pada tahun 2007 adalah 41.22%, diikuti 41.24% (2008), 52.81% (2009), 53.51% (2010), 54.26% (2011), 53.3% (2012), 54.7% (2013), 52.7% (2014), 54.5% (2015), 53.2% (2016).
Sehingga kini, seringkali didakyah bahawa negara akan bankrap sekiranya 'Government Debt to GDP' melepasi 55% had siling yang ditetapkan secara perundangan.
Namun, tak bankrap jua Malaysia walaupun pada detik 9.44 pagi 3 Ogos 2017 tadi menyaksikan angka hutang negara sejumlah RM669.4 bilion (RM669,422,976,341) adalah menyamai 55.55% jika dinisbahkan pada GDP.
Fahamnya di sini, walaupun ada kekangan perundangan tetapi tidak bermakna ada kekangan kewangan membabitkan birokrasi BNM dan Kerajaan Persekutuan dalam amalan berbelanja di tanah air ini.
Dinamika BNM
Lewat petang ini ketika menempuh trafik sesak ke Jambatan Pertama Pulau Pinang, terbaca sekali lagi satu laporan PDF - 'Malaysian Debt Securities And Sukuk Market', terbitan bersama Bank Negara Malaysi dan Securities Commission Malaysia.
Pada halaman 11 menjelaskan Central Banking Act 1958 (Pindaan 1994, 2006) menetapkan Bank Negara Malaysia boleh mendahulukan kredit dalam bentuk rizab yang diperlukan oleh Kerajaan Persekutuan, untuk menanggung sebarang defisit dalam hasil belanjawan negara.
Menurut sumber, BNM sejak tahun 2005 lagi dibenarkan membeli bon yang diterbitkan oleh Kerajaan Pusat.
Ini, sekaligus membayangkan bahawa BNM memainkan peranan yang lebih penting dalam membiayai hutang tempatan (baca: asalkan dalam Ringgit Malaysia).
Sesungguhnya BNM merupakan satu-satunya entiti yang boleh mencipta rizab Ringgit Malaysia tanpa kos.
Jika difahami peranan serta birokrasi kewangan yang dimainkan oleh BNM ini, kita akan faham sebarang kekangan perundangan berdasarkan Central Banking Act (pindaan 2006) sebenarnya bukan sesuatu yang real.
Yang real dan nyata, BNM seakan masih tiada kekangan kewangan walaupun diikat dengan pelbagai birokrasi perundangan.
Selagi hutang rizab yang BNM keluarkan ini dalam Ringgit Malaysia (RM) ataupun hutang negara dalam RM, negara tidak akan menemukan garis bankrap.
Ertinya, birokrasi kewangan BNM lebih dinamik dalam banyak segi, antaranya dalam mencipta rizab yang diperlukan oleh Kerajaan Pusat; jika nak dibandingkan dengan peranan serta birokrasi kewangan yang dimainkan oleh Central Bank of United State untuk pemerintah Amerika Syarikat.
Dan sebab itu, pada pagi tadi Malaysia masih tidak bankrap walaupun hutang negara berbanding KDNK pada angka 55.55%.
Style Najib?
Jika benarlah BNM langsung tiada kekangan kewangan untuk membiayai belanjawan Kerajaan Pusat, timbul soalan berantai yang lain.
Antaranya, kenapa Kerajaan Pusat tidak menerbitkan Bon untuk dibeli oleh BNM secara langsung bagi tujuan pembangunan projek infrastruktur negara?
Jika Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk membentangkan fasa-fasa projek MRT bernilai kira-kira RM100 bilion di Dewan Rakyat, mungkin perdana menteri itu berasa 'leceh' dengan karenah oposisi - "projek ini akan menambah angka hutang negara", "Malaysia akan bankrap sebab hutang terkumpul melebihi 55% GDP", dll. Ini kemungkinan
Akhirnya, mungkin perdana menteri merangkap Menteri Kewangan I itu memilih langkah menerbitkan Bon Jaminan Korporat melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) DanaInfra Nasional Berhad.
Lalu, sebuah lagi GLC bernama Prasarana Negara Berhad membina projek MRT tersebut dan fasa II MRT Kajang yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM21 bilion telahpun siap.
Jika projek ini tidak menambah angka hutang terkumpul negara, daripada mana Kerajaan Pusat mendapatkan wang untuk berbelanja lebih?
Kenapa Malaysia masih belum bankrap walaupun RM21 bilion telahpun dibelanjakan untuk projek pembangunan infrastruktur negara tersebut?
Industrilialization Capitalsm
Ertinya, ada langkah inovatif daripada BNM dan Kementerian Kewangan untuk membesarkan saiz ekonomi Malaysia, menambahkan bilangan pekerjaan mahir sejajar pertambahan populasi buruh dan lambakan graduan universiti.
Walaupun fasa II MRT Kajang bernilai RM21 bilion, tetapi kesan berganda (multiplier effect) mungkin lebih 10 kali daripada aspek ekonomi dan aspek sosial.
Kerana rakyat ada pekerjaan, menyumbang pada kuasa membeli dalam aktiviti ekonomi domestik.
Kerana simen, besi, kepakaran, kejenteraan, perkhidmatan dll diperlukan dalam menyiapkan projek infrastruktur negara seperti fasa II MRT Kajang, sekaligus menyumbang pada peningkatan kuasa produktiviti negara.
Kerajaan Persekutun tentunya mendapat balik hasil dalam bentuk cukai dll kerana birokrasi kewangan dan perundangan berlaku untuk menyiapkan projek tersebut.
Bayangkan oposisi mempunyai kesedaran bahawa dinamika BNM sebenarnya mempunyai kuasa kewangan seumpama ini, adakah pakatan mereka akan berdakyah dalam logik ekonomi secara konservatif?
Konservatif ertinya mereka percaya Kerajaan Pusat perlu berjimat cermat, dan akan bankrap jika hutang negara tidak melepasi 55% GDP.
Konservatif ertinya mereka percaya dengan tangkap perasuah, ekonomi akan bagus; walhal ekonomi bertambah baik jika saiznya dibesarkan melalui projek seumpama fasa II MRT Kajang.
Lawan pada faham ekonomi konservatif antaranya industrilisasi kapital.
Industrilisasi kapital ertinya, bagaimana ahli politisi pembangkang menawarkan kepada pengundi di PRU14 ini sesuatu dasar ekonomi yang lebih progresif dan inovatif untuk rakyat?
Contohnya, bagaimana nak menggunakan upaya BNM untuk membina lebih banyak hospital, universiti awam, hijaukan semula hutan, bersihkan laut dan sungai, menyediakan lebih banyak rumah mampu sewa dan pengangkutan awam moden, serta menyusun semula industri negara ke arah produktif.
Konservatif Takut Hutang, Belanja
Semua projek industrilisasi kapital ini bukan sahaja memerlukan tenaga buruh yang banyak secara produktif, malah akan mewujudkan produktiviti berantai dalam sektor teknologi jentera negara umpamanya.
Kerja-kerja membersihkan laut memerlukan buruh, tanaga pakar, jentera termaju. Proton mungkin akan mulakan R&D dan hasilkan jentera termoden untuk kerja pembersihan laut dan sungai. Ini contoh industriliasi kapital!
Bayangkan Kerajaan Persekutuan ada 1000% lebihan kewangan dalam bentuk tunai sekalipun; tetapi tiada buruh, simen, besi di tanah air ini untuk membina fasa III MRT umpamanya - bolehkah projek pembangunan negara direalisasikan?
Kalau tanpa semua ini pun Kerajaan Pusat tidak mampu realisasikan, jangan melontar harapan kepada pemodal swasta spekulatif untuk buat semuanya.
Mereka pun bergantung pada birokrasi kewangan yang digubal dan dikuatkuasakan oleh Kerajaan sendiri.
Lebih baik birokrasi kewangan BNM yang begitu dinamik ini membiayai hutang Kerajaan untuk membesarkan saiz ekonomi negara.
Kalau buruh tiada pekerjaan dan produktiviti tidak berkembang; bolehkah cukai, premium, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil dan hasil persekutuan dikutip oleh Kerajaan Pusat?
Sebab itu, Kerajaan Pusat yang mempunyai kuasa ke atas BNM jangan takut berhutang dalam RM, demi memakmurkan ekonomi serta tahap keselesaan hidup rakyat terbanyak; bukannya demi kepentingan elit politisi reaksionari dan pemodal swasta spekulatif yang sedikit.
Setuju?