27 July 2017

Sentimentalnya Malaysia...


PENULIS bergambar di dusun durian milik Tuan Haji Khuzaifah Azlan atau lebih mesra dipanggil "Bang Lan Jan" di Kuala Nerang (Koordinat: 6.419045,100.484283) pada petang 26 Julai 2017. Untuk tempahan 'masuk makan', hubungi beliau di talian 0192147343 dengan bayaran 'satu kepala' dewasa RM35 dan RM25 untuk kanak-kanak.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob 
#DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial 

Wacana Politik | Otai Reformasi dibantai habis-habisan dalam Facebook belakangan ini kerana pendirian kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan secara lantang dan tegas membantah Tun Dr. Mahathir Mohamad mengetuai Pakatan Harapan (Harapan).

Pendirian mereka itu digambarkan melampau kerana Anwar sendiri saling bekerjasama dengan Dr. Mahathir untuk menentang kepemimpinan kleptokrasi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di Facebook jua, ada avatar-avatar serta penulis politik mesra Harapan mencadangkan supaya Otai Reformasi supaya tidak terlalu sentimental.

Dalih mereka, batang tubuh Anwar sendiri menerima sumbangan Dr. Mahathir dalam perlawanan 'satu lawan satu' pada PRU14 nanti.

Maka, cadang mereka lagi, elok Otai Reformasi tidak berpendirian menentang Harapan ataupun pentadbiran Najib, tapi terus menyertai gabungan Barisan Nasional (BN).

Tanpa disedari, sebenarnya penyokong Harapan juga seperti Otai Reformasi yang digambarkan terlalu sentimental pada batang tubuh Dr. Mahathir dalam pakatan pembangkang.

Dr. Mahathir saling berbaik dengan Sdr. Anwar adalah isu peribadi. 

Jika kedua-dua ahli politik itu masih belum saling bermaafan tetapi bersetuju untuk bersekutu menentang Najib sekalipun, masih bersifat peribadi.

Sebagaimana Otai Reformasi bergantung harap pada personaliti Sdr. Anwar sahaja untuk menumbangkan Najib, adakah Harapan juga terlalu bergantung pada politik peribadi Dr. Mahathir semata-mata untuk menumbang rejim?

Jika begitu hakikatnya, wajar dua kelompok penyokong blok pembangkang terbabit dilihat saling mengamalkan politik personaliti, walaupun mempunyai niat murni untuk membela rakyat Malaysia.

Adalah Malaysia begitu bergantung pada politik personaliti, sampai konsesus Pakatan Harapan membabitkan DAP, PKR dan Amanah pun seakan terpaksa bergantung pada sentimental Dr. Mahathir dan Sdr. Anwar?

Politik Ekonomi

Lawan politik sentimental dan peribadi ini adalah politik ekonomi. 

Politik ekonomi bercakap mengenai perut rakyat yang lapar, luas lantai rumah boleh dinikmati dengan sewa termurah, tiada lagi undang-undang yang mengekang kesatuan buruh dalam sektor E&E umpamanya, dan banyak lagi.

Politik ekonomi bukan hanya bercakap idea hapuskan GST, tapi juga mengenai bagaimana dasar percukaian negara wajar disusun untuk mengimbangi jurang sosial 90% rakyat terbanyak dan 10 peratus golongan kaya raya.

Politik ekonomi juga antaranya bercakap mengenai pengurusan kekayaaan negara serta bagaimana memastikan rakyat terbanyak paling untung apabila satu-satu dasar dilaksanakan.

Anwar begitu banyak sumbangannya kepada negara, sama ada ketika menjadi timbalan perdana menteri dahulu, atau waktu menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, sebelum diheret ke penjara.

Tapi, Sdr. Anwar tidak pernah menjadi perdana menteri untuk dibandingkan dengan Najib.

Dr. Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, dan kita boleh bandingkan dengan pentadbiran Najib pada hari ini.

MRT dibina pada era Najib, GLC Prasarana Negara Berhad yang membinanya dengan Bon Jaminan Kerajaan, diterbitkan oleh satu lagi GLC, DanaInfra Nasional Berhad.

MRT ini 100% milik negara kerana kedua-dua GLC tersebut dibubuhkan di bawah Kementerian Kewangan sendiri.

Manakala, KL Monorail, Putra LRT, Star LRT dan perkhidmatan bas Intrakota antara projek pengangkutan awam, semuanya dibina pada era Dr. Mahathir.

KL Monorel umpamanya, dibina sehingga ke Berjaya Times Square, Kuala Lumpur kerana projek pengangkutan awam itu diswastakan kepada kroni, Tan Sri Vincen Tan, bankrap, 'bail-out', lalu diambil alih oleh Kerajaan Pusat melalui Prasarana.

Tiga pengangkutan awam lain pun menemukan nasib serupa. 

Kroni tidak kira Melayu atau Cina atau India yang menikmati untung terbanyak, sebelum diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan, selepas Dr. Mahathir tidak lagi menjadi perdana menteri.

Gambarannya di sini, sistem pengangkutan awam yang dibina pada era Najib adalah milik negara dan rakyat, manakala pada era Dr. Mahathir adalah sebaliknya.

Jika kita faham gambaran komparatif mudah di atas, kita akan faham sebab musabab pada ketika ini menyaksikan GLC mengawal 68,000 syarikat dengan mendominasi 42% Bursa Saham Malaysia.

Angka dan rekod pencapaian ini adalah pada era Najib, kerana birokrasi kewangan dalam projek infrastruktur pengangkutan awam negara adalah berbeza dengan era Dr. Mahathir.

Dengan angka ini, dalam fikiran politik ekonomi yang real, takkan kita boleh menerima secara sentimental bahawa menyokong Dr. Mahathir lebih baik menyokong Najib?

Saya juga penyokong Pakatan Harapan, mesra DAP kerana sosial demokrat adalah dasar perjuangan parti masa depan itu.

Andaikan saya mengata bahawa sokong Dr Mahathir mengetuai Harapan lebih buruk berbanding menyokong Najib.

Ini, bukan bermakna saya mengajak semua penyokong Harapan untuk melemparkan anggapan bahas Najib lebih baik untuk disokong.

Rejim kleptokrasi Najib zalim, menganiaya rakyat dengan GST dan pelbagai undang-undang draconion, serta wajib ditumbangkan melalui proses demokrasi berpilihan raya yang adil dan bersih.

Inilah, dogma politik yang patut didokong, saya anggap sebagai perjuangan paling utama sengaja seorang sosial demokrat Muslim.

Penyokong Harapan wajib menumbangkan rejim kleptokrasi ini, dengan polisi ekonomi yang lebih progresif serta menguntungkan rakyat, bukannya bergantung pada politik personaliti Dr. Mahathir - Anwar Ibrahim.

Polisi ekonomi Harapan, dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara umpamanya, mesti lebih baik berbanding sumbangan Najib dan Dr. Mahathir.

Apa tawaran Harapan, selain bergantung atau menentang personaliti Dr. Mahathir sempena PRU14 nanti?

Belajar Dari Pulau Pinang 

Di Pulau Pinang, hasrat Kerajaan Negeri merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) bernilai kira-kira RM47 bilion, seperti LRT, Monorel, BRT dan sebagainya adalah niat yang murni.

Pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berhasrat untuk melaksanakan kerja-kerja tebus guna tanah membentuk tiga pulau jadian, demi membiayai kos binaan serta kos operasi sistem pengangkutan awam tersebut.

Exco yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan menegaskan, langkah penambakan laut itu demi memastikan TMP ini 100% milik Kerajaan dan rakyat, bukan pihak swasta.

Ini adalah impian yang lebih progresif berbanding dasar penswastaan pengangkutan awam yang pernah dilaksanakan pada era Dr. Mahathir dahulu.

Tinggal lagi Harapan mungkin boleh belajar daripada pengalaman membina MRT Kajang melalui Bon Jaminan Kerajaan, atau birokrasi kewangan yang lebih dinamik lagi dengan menubuhkan Penang's Own State Bank sebagaimana pengalaman Singapura dan China.

Bon Jaminan Bebas yang diterbitkan oleh GLC adalah hutang korporat, dan antara birokrasi pelaburan kewangan paling selamat.

Jika bon jenis ini tidak dibeli oleh mana-mana pihak, bank-bank milik penuh Kerajaan Singapura dan China sendiri akan membelinya untuk projek infrastruktur negara.

MRT Kajang telahpun siap. Kalau jumlah hutang terkumpul negara tak bertambah kira-kira RM21 bilion, daripada mana pentadbiran Najib beli simen dan bayar upah buruh bina prasarana pengangkutan awam baharu itu?

Jawapannya, sekali lagi, adalah Bon Jaminan Bebas dan ia adalah hutang korporat.

Hutang korporat bukan hutang terkumpul negara, maka jangan dakyah pihak tertentu kononnya Malaysia akan bankrap jika hutang terkumpul negara melebihi 55% KDNK.

Percayalah bahawa hutang korporat Malaysia jika melebihi KDNK sekalipun, negara tidak akan bankrap.

Hutang korporat China setinggi 166% berbanding KDNK, kerana pemerintah negara itu begitu banyak membina sendiri jajaran keretapi laju berkapasiti tinggi, demi membesarkan saiz ekonomi dan kerjaya selari dengan peningkatan populasi buruh.

Adakah China bankrap, kerana hutang korporat melebihi GDP?

257% hutang korporat Singapura berbanding GDP 2014 adalah terbesar di dunia, tapi adalah negara jiran Malaysia itu juga sekarang telah bankrap?

Harapan atau penentangnya elok meninggalkan politik personaliti Dr. Mahathir ini, dan bergerak pada politik ekonomi yang lebih real serta menguntungkan rakyat terbanyak.

Politik ekonomi Harapan ini antaranya mesti berkisar pada aspek membesarkan saiz ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerja, sejajar dengan pertambahan bilangan buruh dan lambakan graduan universiti.

Mungkin politik ekonomi sebegini boleh memugar sokongan terbanyak rakyat, bukan terhad pada penyokong Dr. Mahathir atau penentangnya yang sentimental itu.

Selalu saya cakap, politik kepartian bersifat personaliti tanpa dasar-dasar ekonomi yang progresif, adalah sia-sia buat rakyat.

Pan Malaysian Islamic Party menawarkan perkara-perkara metafizik seperti bidadari syurga atau 'munafik jika tak sokong RUU355'.

Jangan Harapan menawarkan perkara-perkara metafizik juga, seperti 'tak sokong Dr. Mahathir elok sokong BN'.

Itu, terlalu sentimental untuk rakyat Malaysia sebenarnya.

Setuju?

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus