04 July 2017

Cerpen Ekonomi | Nor terpaksa . . .




Oleh: Zainulfaqar Yaacob 

DEKPOS | "Selagi Hudud tidak dilaksanakan, selagi itulah hotel lendir bersepah di George Town ini," kata pemandu Crabcar kepada Man tengah hari tadi,

Perjalanan dari Bangunan Persekutuan, Jalan Anson ke Komtar, Man mengambil sikap dengar dan terus mendengar. Beliau tidak menyangka begitu simplistik cara berfikir pemandu yang Islamik itu.

Lama kelamaan, fikirannya terbang melayang.

Masih terbayang dalam ingatan, isteri muda cantik jelita "Siti" meminta Man menghantar produk Shaklee kepada salah seorang pelanggannya.

"Man jangan pula tanya banyak kepada Kak Nor ini, Siti harap sakit keputihannya sembuh," kata isteri Man melalui telefon, sebagai susulan, sebelum jarum jam terpacak 5 petang.

Di Lorong Amoi tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia merupakan kediaman pangsa orang kebanyakan. Melayu dan Cina paling ramai mendiami rumah kos rendah di situ. Celah-celah penduduk setempat, adalah segelintir bukan warganegara dari Indonesia atau Nepal atau Thailand.

Kak Nor, rumahnya di tingkat 2 flat di sini. Dari kaki lima rumah pangsa, dia sudah melambai tangan ke Man. Mungkin, kerana awal-awal Siti sudah mengirim whatsapp gambar suaminya itu.

"Maaf lah Kak, terlewat sikit kerana trafik lif agak sesak waktu pulang tadi."

"Eh...jangan lah panggil 'Akak'. Nor baru berusia 30 tahun, ingat suami Siti ini lebih tua." ramah Nor sambil menjemput Faqar masuk ke rumah.

Rumah Nor tak besar, luas lantai lebih kurang 650 kaki persegi, sama seperti rumah Man dan Siti di Taman Sembilang dekat Seberang Jaya. Nor memberitahu beliau tinggal dengan anaknya, berusia empat tahun, mungkin sebaya #InsyirahSolehah.

"Suaminya Siti ini mungkin tahu Nor kerja apa?" Tanya Nor sambil membawa dulang air 'teh bujang' ke ruang tamu.

Kerana pokok hujan kian kelihatan, lalu lebat mencurah, Man mengambil keputusan untuk berteduh seketika di rumah pelanggan Shaklee isterinya itu.

"Sudah lama kenal Siti?"

"Selalu Nor berjumpa Siti di Pusat Rawatan Harian Hospital Pulau Pinang, tapi tak perasan pula ini suami Siti. Semoga sakit barah kelenjar limpa tahap empat isteri kian sembuh."

"Aminnn...Panggil Man sahaja. Saya kerja tidak jauh dari Komtar."

"Nor pun kerja tidak jauh dari Komtar pada waktu siang juga, cuma tiada waktu pejabat sahaja," seloroh Nor sambil mengaku beliau adalah pekerja seks sepenuh masa sejak empat tahun lalu, selepas kematian suami yang akibat kemalangan jalan raya.

Nor berkahwin seusia 19 tahun, dengan seorang juruteknik kontrak. Beliau boleh dikatakan bertuah, walaupun tiada segulung ijazah dan kerjaya, tetapi boleh hidup berkeluarga secara sederhana di rumah sewa di tengah-tengah George Town. 

Nur berjiran dengan Mak Som dan Haji Kadir. Mak Som orangnya sangat baik, sampai sekarang tolong menjaga anak pada sebelah siang ketika Nor keluar bekerja. Sejak Nor memeluk Islam, Mak Som lah yang mendidik Nor tentang selok belok agama dan sembahyang. Tapi, Haji Kadir orang politik. Beliau 'orang kuat' Pan Malaysian Islamic Party

Dahulu, Pak Kadir lah menjadi pelindung Nor, terutama ketika diburu oleh ayah dan ibu yang masih 'Cina'. Tapi, sejak Pak Kadir terserempak Nor yang dalam perjalanan ke 'Rumah Merah' tak jauh dari Komtar, Pak Kadir seakan tidak lagi seperti dahulu.

"Nor tahu kerja Nor ini tak baik dan Tuhan marah, Pak Kadir pun selalu datang rumah maki-maki Nor sebab buat kerja ini untuk bagi makan minum anak guna duit haram," kata wanita itu. Dia menangis sambil meluahkan rasa susah hidupnya kepada Man.

"Apa Pak Kadir kata?" tanya Man. Lelaki berusia awal 30-an itu menunjukkan rasa simpati atas rasa hormatnya kepada pelanggan Shaklee Siti. Dalam hatinya berbolak-balik, Man berbisik seorang diri, "mungkin langit menangis kerana mahu aku belajar sesuatu daripada perempuan ini?"

"Pak Kadir kata - Selagi Hudud tak terlaksana, selagi itulah pelacur macam Nor nie tak akan berhenti jual diri," balas Nor sambil mengesat air mata yang mencurah-curah. Mungkin sudah lama beliau ingin melepaskan perasaan ini, cuma anaknya masih kecil dan belum bersedia untuk mendengar kisah ibu tunggal itu. Kebetulan bersua dengan suami Siti, maka beliau berkongsi perasaan yang terpendam lama itu.

Man memberitahu gaji bulanannya tak cukup untuk hidup sekeluarga dengan isteri dan seorang anak. Siti banyak membantu, bukan sahaja menjual produk-produk kesihatan sampingan Shaklee. Isteri muda cantik jelita Man turut membuka tadika swasta secara kecil-kecilan. "Sebenarnya semua hidup susah sekarang ini Nor, Man sekeluarga pun hidup susah juga seperti Nor."

"Man ada kerjaya. Siti juga ada kerjaya sebab ada sijil universiti. Nur, mengaji SPM pun tiada, tapi rumah sewa nak dibayar, susu anak nak kena dibeli, makan minum keluarga nak dijaga," rungut Nur sambil menganggap maki-makian Pak Kadir tidak adil untuknya.

Man memberitahu kawannya, seorang pembantu pegawai perubatan yang ada gaji tetap di Hospital Pulau Pinang pun, masih menjaja seluar jeans dan kasut roda di Uptown Bandar Perda, Seberang Jaya.

"Hari ini semua susah Nor, Man faham ini bukan kerja pilihan Nor," suami Siti itu terus menzahirkan simpati.

Balas Nor lagi, "kalau ada tapak menjaja, bolehlah mencari makan dengan menjaja. Kalau tapak menjaja pun tiada, terpaksa lah cari makan dengan jual tubuh sendiri.

Dari situ, Man belajar bahawa pemimpin negara perlu menyediakan lebih banyak peluang ekonomi dan kerjaya kepada ibu tunggal muda, bukan seperti segelintir pemimpin Islamic yang hanya tahu memaki-hamun ala Pak Kadir:

"Selagi Hudud tak terlaksana, selagi itulah pelacur macam Nor ini tak akan berhenti jual diri..."

Hujan pun berhenti. Man gembira belajar sesuatu daripada Nor. "Dialektik materialisme, bukan sentimen beragama," jeritnya dalam hati.

"Encik...Encik...Crabcar sudah sampai di Komtar," kata pemandu kereta sewa tumpang murah berkenaan.

Lalu, Man memberikan RM5 seperti dimaklumkan dalam aplikasi atas talian Crabcar. Beliau mengesat air mata, mengenang Siti yang menghembuskan nafas terakhir di depannya, dekat Hospital Muar pada 9 Januari 2017 lalu.

END

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus