Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD
PANTAI JEREJAK - Sejak tahun 1980, isu tekanan air terlalu rendah merupakan antara cabaran utama bagi semua penduduk yang menghuni 30 unit kediaman pangsa kos rendah lima tingkat di Blok 74 Jalan Tengah dekat Bandar Bayan Baru.
Bagaimanapun Zuraida Abdul Rahim, 61, yang bermastautin di sini ketika ditemui kemudian tadi melahirkan rasa gembira kerana masalah malar segar itu telahpun ditangani oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.
"37 tahun lalu, semasa makcik dan pakcik tinggal di sini, anak sulung masih belum berumur setahun lagi.
"Tekanan air rendah sepanjang masa tidak kira pada awal pagi waktu sebelum ke tempat kerja atau tengah hari atau petang sampai ke tengah malam.
"Selepas 37 tahun tinggal di sini langsung tidak dibaik pulih seperti tangki air dan sebagainya, sudah dibaik pulih sekarang," ujar Zuraida yang ditemui dalam Majlis Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-Kerja Pengecatan Semula & Pembaikan Kritikal Blok 74 Jalan Tengah di sini pada tengah hari tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato' Mohd. Rashid Hasnon yang juga Timbalan Ketua Menteri I kerana membiayai kos projek pengindahan dan reka lanskap kediaman di kawasan flat berkenaan.
Pengerusi Badan Pengurusan (MC) Persatuan Penduduk Blok 74 Jalan Tengah, Thomas Devas pula merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana membiayai 80 peratus kos projek tersebut.
"PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) telah menanggung 80 peratus kos penyelenggaran dan cat semula bangunan rumah pangsa Blok 74 ini.
"Rakyat semakin bijak, dan akan menyokong Kerajaan yang membuktikan keprihatinan serta berjiwa rakyat," jelas Thomas.
Ketika berucap, Guan Eng memberitahu Kerajaan Negeri hari ini membiayai 80 peratus kos projek tersebut sebenarnya berdasarkan teori ekonomi 80:20 'Prinsip Pareto'.
"Prinsip Pareto ini bukan sahaja membuktikan sebuah Kerajaan Negeri melalui PDC mengambil tanggungjawab membiayai 80 peratus kos projek ini, malah penduduk juga akan memulihara kemudahan serta keindahan ini kerena mereka juga menanggung baki 20 peratus kos projek ini.
"Inilah projek pengecatan yang ke-14 yang telah disiapkan oleh PDC sehingga bulan Mac ini...kerja-kerja penyelenggaran seakan telah menjadikan bangunan ini rumah pangsa yang baru," jelas Guan Eng yang juga Setiaushaa Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo turut berucap pada majlis itu, selain Mohd. Rashid dan Thomas.
Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Dato' Rosli Jaafar.
Seperti dimohon oleh Jagdeep sebelum ini, Guan Eng memberitahu pihaknya akan saling berbincang dengan Bahagian Kewangan Kerajaan Negeri untuk mempertimbang syor menambahkan peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP).
Difahamkan kos keseluruhan projek pengecatan dan serta kerja-kerja penyelengaraan kritik seperti pembaikan bumbung, tangki air, penggantian 'surface water pipe' serta 'waterproofing' menelan belanja sejumlah RM93,310.
Namun, Guan Eng memberitahu projek pengecatan sahaja menelan belanja RM40,500, iaitu 80 peratus atau RM32,400 dibiayai oleh PDC dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat dan baki 20 peratus lagi (RM4,050) ditanggung oleh MC masing-masing.
Nisbah tanggungan bagi kerja-kerja penyelenggaran sahaja adalah 80:10:10, iaitu 80 peratus membabitkan Kerajaan Negeri, manakala baki 10 peratus lagi masing-masing ditangggung Kerajaan Negeri dan MC.
Sebelum itu, Jagdeep memberitahu peruntukan TPM80PP bagi tahun 2017 sejumlah RM2.8 juta termasuk tambahan RM1 juta lagi daripada Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY) adalah tidak mencukupi, dan perlu peruntukan tambahan.
"Jumlah besar iti (RM3.8 juta) walau bagaimanapun adalah tidak mencukupi untuk membiayai projek-projek yang telah diterima sehingga Jun 2017, di mana projek yang diluluskan dan sedang dipertimbangkan berjumlah RM6,481,771.68 dan kita masih mempunyai enam bulan untuk tahun ini (2018)," jelas Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep memberitahu hanya 29 daripada semua 143 permohonan Tabung Penyelegaraan 1Malaysi (TP1M) diluluskan sejak tahun 2012.
Akibatnya, menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri tidak dapat meluluskan 30 peratus atau 10 peratus peruntukan HAPPY, disebabkan Kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan TP1M.
No comments:
Post a Comment