Oleh: Zainulfaqar Yaacob
Cerpen | Selepas perjalanan kira-kira lima jam dari Penang Sentral, bas ekspres Cepat yang dinaiki ayah serta anak untuk pulang beraya ke Muar, Johor bersinggah sebentar di R&R Serdang.
"Encik pergilah ke tandas, biar saya melihat anak kecil ini," celah seorang gadis remaja di kerusi duduk bersebelah. Tidak jelas wajahnya, berserkop 'snow jaket' di kepala disinari samar-samar cahaya lampu jalan di dalam bas.
"Bagus juga...selalu anak dara saya, Solehah kalau terjaga tidur, akan mencari ibunya," ringkas sahaja respons Man sebab menahan qadha hajat berjam-jam juga.
Selepas selesai membuang air kecil, Man kembali ke tempat duduknya. Solehah masih 'berlipat-lipat' badan, tidur seperti ibunya. Siti, tidak kiralah sama ada tidur di katil kembar besar atau kerusi bas yang sempit, kedua-dua lututnya akan menyentuh dada, sambil ada kain tertentu diletakkan di hujung bibir. 'Mantel-Mantel' kata orang Jawa di Kundang Ulu, kampung Hajjar. Anaknya sebiji menurun cara tidur ibu. Begitu comel. Man membetulkan postur badan anak daranya yang baru berusia 6 tahun pada 11 Jun 2017 lalu. "Tidur semacam ibunya," kata Man kepada gadis berkenaan.
"Ibu kepada Solehah ini bekerja di Muar?" tanya gadis berkenaan sambil mencabut 'ear-phone' yang bersumbat ke telinga. Gadis berkenaan turut membuka 'snow jaket' yang menutupi kepalanya.
Man terlopong. Wajah remaja gadis itu saling tak tumpah seperti wajah Siti, arwah isterinya. Iya...wajah remaja Siti yang segar dan sedikit tembam ketika tahun akhir di Universiti Sains Malaysia, George Town. Tapi, Man sembunyikan perasaan itu, bimbang disalah erti pula. "Isteri saya baru meninggal dunia pada 9 Januari lepas akibat Cancer Hodgkin Lymphoma tahapan empat. Man bawa Solehah ke Muar sebab nak beraya di pusara Siti."
"Oh...maafkan saya. Saya Awin. Saya tidak tahu ibu kepada anak ini baru meninggal dunia." Kata Awin, semalam ada seorang ibu muda bernama Siti juga meninggal di Hospital KPJ dekat Uptown Bandar Perda Seberang Jaya, tempat beliau latihan praktikal.
"Sudah berapa lama 'housemanship'?"
"Saya bukan doktor, saya pelatih jururawat sebenarnya." Gadis itu memanjangkan perbualannya berteman samar-samar cahaya dalam bas ekspres. Katanya, hampir dua minggu jua beliau menemani Siti di wad sakit kanser dekat Hospital KPJ. Siti, katanya sakit Barah Kelenjar Limpa jua. Hujung-hujung hayatnya, beliau menghabiskan masa membaca buku-buku keagamaan. "Saya seronok mendengar perbualannya sebelum Siti rehat dan tidur malam."
Kata Awin lagi, beliau begitu kagum dengan Siti, kerana mampu menelaah Kitab Futuhat Makiyah karangan filusof terkenal bernama Ibnu 'Arabi. Sampai ke hari ini, perbualan hari-hari akhir Siti mengenai persoalan "ilusi dan realiti' masih berbekas dalam diri, akui Awin sambil mempelawa Man air tin nescafe.
"Selepas Siti pergi, saya memang tidak pernah lagi menemuinya. Tapi, Encik Man percaya tak bahawa orang hidup boleh menemui orang mati?"
"Saya percaya."
"Orang mati bukan sudah ke alam Barzakh?"
"Man pernah bermimpi menemui Siti sehari lepas kematiannya di Hospital Muar. Sangat cantik, dan begitu seksi. Wajahnya begitu segar, tiada lagi wajah cengkong derita sakit kanser, remaja jelita seperti di USM dahulu."
"Mimpi itu mainan tidur, itu bukan realiti tapi fantasi." Balas Awin. Sambil membetulkan postur duduknya, Awin seakan berminat untuk berbual panjang, sementara menunggu bas berjalan kembali.
"Alam fantasi dan alam realiti sangat rumit, seperti Alam Duniai dan Alam Barzakh. Sesetengah menganggap Alam Duniawi ini yang fantasi, kerana ruh akan kekal sedangkan tubuh akan reput di perut bumi."
"Kita yang masih hidup ini fantasi? Menarik..."
"Fantasi itu kedudukannya sementara, realiti itu kekal lebih lama berbanding fantasi. Selepas kematian, ruh kekal berbanding tubuh badan kita, maka Alam Barzakh lah lebih realiti dan Alam Duniawi kita ini lah fantasi."
"Tapi, yang real hidup ini adalah kita di dunia, kenapa tidak kita ini dianggap sebagai realiti? Kenapa tidak kita anggap mimpi bertemu isteri yang telah meninggal dunia itu adalah fantasi dan sekadar mainan tidur sahaja?"
"Kalau kita anggap Alam Duniawi ini adalah realiti, bukan setakat Alam Barzakh sahaja patut dianggap fantasi. Bahkan, zat Allah itu sendiri patut dianggap fantasi kerana kita telah tersalah anggap yang hidup secara real adalah kita di dunia ini."
"Menarik...saya tak pernah terfikir begitu pula."
"Cik Awin...Alam Barzakh itu adalah realiti berbanding Alam Dunia, kerana ruh kekal berbanding jasad kita selepas mati nanti. Allah S.W.T. itu realiti berbanding ruh tadi kerana yang kekal adalah Allah dan ruh kita jua akan musnah kelak seperti jasad kita selepas mati, dengan izin Allah nanti."
"Jadi..."
"Kalau Nabi Yusof A.S. boleh bermimpi bulan dan bintang sujud di kaki-nya secara realiti, orang soleh boleh bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W., takkan saya yang fantasi di dunia ini tak boleh bermimpi ruh isteri yang realiti?"
"Cara Cik Man cakap saling tak tumpah macam cakap Siti, pesakit yang saya jaga di Hospital KPJ baru-baru ini."
"Apa yang saya cakap ini pernah arwah isteri muda cantik jelita sebut - di Alam Duniawi yang fantasi ini, jika beliau dijemput pulang dek Tuhan nanti, Man akan bertemu seseorang seperti-nya. Orang itu mungkin perangainya seperti-nya. Dan, mungkin wajahnya jua seperti-nya." Man mulai sebak dan tidak malu pun menzahirkan kesedihannya dengan Awin yang baru dikenalinya itu.
Awin nampak seakan serba-salah. Lalu, gadis itu cuba mengalih topik perbualan dengan menceritakan hal keluarga Jawa-nya dekat Serom 1 di Muar juga, tidak jauh sebenarnya dengan Kampung Kundang Ulu, iaitu desa permukiman asal Siti isteri kepada Man. Katanya lagi, ini semester akhir beliau di sebuah kolej kejururawatan dekat Nilai, Negeri Sembilan. "Sebenarnya saya serba salah nak bertanya Encik Man..."
"Tanya lah...saya memang suka berbual. Paling saya suka adalah 'pillow talk' bersama Siti dahulu."
"Kenapa, topik Realiti dan Fantasi yang Cik Man cakap semacam Siti, pesakit yang saya jaga di Hospital KPJ baru-baru ini," Awin berkongsi skeptiktisme-nya.
"Selama hampir enam tahun derita sakit barah, Siti tak pernah masuk ke mana-mana Hospital KPJ. Tapi, topik Realiti & Fantasi ini, Siti pernah cakap kepada Man dahulu." Ulang Man lagi, "apa yang saya cakap ini pernah arwah isteri muda cantik jelita sebut kepada saya dahulu."
"Encik Man begitu yakin akan bertemu Siti yang telah mati?"
"Setiap kenangan ada kesetiaannya. Bukan setakat bertemu Siti di Alam Duniawi ini, saya yakin akan bertemu Tuhan di alam lain nanti atas belas rahmat-Nya."
"Esok, Cik Man akan ke pusara Siti?"
"Iya...membawa Solehah ke pusara ibu, mungkin selepas solat sunat Aidilfitri."
"Saya teringin nak ke pusara Siti, ibu kepada Solehah. Di mana pusara-nya?"
"Datang lah ke rumah Mak Mertua saya, berhadapan dengan Masjid Jamek Parit Medan, tanya ahli kariah tempatan - di mana rumah arwah Cikgu Hassan, itu arwah bapa mertua saya." pelawa Man sambil memberikan nombor telefon bimbitnya, 0194241583.
"In sya Allah," respons Awin, yang wajahnya serta perbualannya saling tak tumpah seperti ibu Solehah.
Mereka saling berpisah di Terminal Bas Ekspres Muar-Bentayan 10 minit selepas masuknya waktu Subuh.
Benarlah Alam Duniawi yang fantasi ini, kita boleh bertemu ruh isteri muda cantik jelita. Jasad mukanya bak pelanduk dua serupa. Luhur perbualan yang bergitu tinggi dan seksi jua saling tak tumpah seperti ruh Siti di Alam Barzakh yang realiti.
ALHAMDULILLAH!
1 Syawal 1438H bersamaan 25 Jun 2017
Muar, Johor.
No comments:
Post a Comment