JOSEPH Ng Soon Siang (berbaju coklat) bersama-sama Lim Siew Khim (berbaju putih, tengah) serta Ahli Majlis MBPP lain pada sidang media di sini baru-baru ini. |
SUNGAI PINANG - Kos penyelenggaraan semula empat blok rumah pangsa tiga tingkat di Jalan Jelutong yang berusia 63 tahun baru-baru ini menelan belanja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kira-kira RM75,555.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang memberitahu, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut membawa manfaat kepada 48 keluarga yang mendiami unit-unit kediaman di sini.
"Ini merupakan salah satu skim perumahan awam yang dibiayai oleh MBPP, memberi keseronokan kepada penduduk-penduduk di sini," jelas Siew Khim yang juga Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Beberapa Ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang, Edward Tan, D.R. Kala dan Saiful Azwan Abd Malik turut sertai sidang media di sini.
Bercakap pada sidang media sama, Soon Siang memberitahu projek penyelenggaraan rumah pangsa tersebut sebenarnya siap pada 6 Januari lepas lagi.
Namun, katanya, tempoh liabiliti kecacatan pada projek tersebut menjadi tanggungjawab kontraktor berwajib sehingga 30 Jun ini.
Tambah beliau, penduduk setempat sendiri yang memilih warna cat untuk semua blok di sini, melalui partisipatori Bajet Responsif Gender (GRB).
"Projek mengecat semula dan kerja-kerja naik taraf rumah pangsa Jalan Jelutong ini adalah salah satu skim perumahan awam majlis (MBPP).
"Penduduk hanya membayar RM102 sebulan untuk menyewa unit kediaman berkeluasan 408 kaki persegi.
"Walaupun sewa yang murah, kita (MBPP) tidak mengabaikan kesejahteraan penduduk di sini...dengan kerja-kerja penyelenggaraan dan kerja-kerja menaik taraf telah dijalankan dari semasa ke semasa," jelas Joseph Ng.
Difahamkan, MBPP pada tahun 2014 direkodkan pernah melaksanakan projek pendawaian semula tiap-tiap unit kediaman di sini, demi memulihara keselamatan penghuni setempat.
Mengulas lanjut, penduduk, Rahimah Kaldar Mastan, 63, merakamkan penghargaan atas inisiatif MBPP serta Kerajaan Negeri hari ini.
"Saya suka warna baru dalam blok. Ia kelihatan baik dan baru," katanya, sambil menyatakan komitmen untuk memastikan komuniti setempat memelihara kebersihan kawasan sekeliling di sini.
Selain itu, Rahimah Kaldar turut merakamkan penghargaan kepada pihak Siew Khim kerana membiayai kos membina tanjakan kerusi roda di luar unit beliau.
Katanya, projek inisiatif Siew Khim itu memberi manfaat kepada anaknya, Sirajudin Karim Gani, 34, yang lumpuh selepas kemalangan.
"Dengan jalan (tanjakan kerusi roda), anak saya boleh bergerak lebih baik, terutamanya apabila dia telah pergi ke hospital untuk rawatan dan fisioterapi tiga kali sebulan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Siew Khim memberitahu, ada rancangan di pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pihaknya untuk menyerahkan sebidang tanah lapang berkeluasan 1,053 kaki persegi kepada persatuan penduduk setempat untuk projek pertanian bandar, kelak.
"Butiran projek itu akan dimuktamadkan dan diumumkan tidak lama lagi," katanya.