Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BAGAN JERMAL - Tan
Rupert dan Jose Luis Larossa Chorro muncul sebagai dua pemenang
teratas dalam cabaran edisi ketiga Renang Antarabangsa Rentas Selat Pulau Pinang 2017 pada 25 Mac lalu, dari pantai Persiaran Gurney ke persisiran Pantai Bersih dekat Butterworth.
Ketika ditemui, Exco Belia
dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng
berkata acara itu sebenarnya telahpun diadakan pada tahun 1988, dan
cuba dihidupkan semula oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau
Pinang hari ini.
"Acara ini pernah
diadakan pada tahun 1988 di sini, dan kita harap Penang
International Cross Channel Swim ini
akan menambahkan satu lagi acara tahunan dalam kelender pelancongan
sukan negeri di peringkat antarabangsa.
"Kali
ini, saya dapati hampir semua memakai pakaian renang menutup seluruh
badan untuk elak tersentuh obor-obor seperti tahun lepas, dan ini
ciri-ciri keselamatan yang bagus untuk acara peringkat antarabangsa,"
jelas Chong Eng kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Yang
di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato' Maimunah
Mohd. Sharif dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP)
Dato' Frederick Tan Teck An antara pemimpin negeri yang hadir
meraikan acara tahunan tersebut.
Chong
Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut
merakamkan penghargaan kepada Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang
(PASA), MSNPP, MPSP serta beberapa pertubuhan lain yang saling
bekerjasama menjayakan acara tersebut.
Manakala
Maimunah pula memberitahu penganjuran acara tahunan tersebut
sekaligus menyumbang pada usaha meremajakan lagi kawasan pelancongan
Pantai Bersih, sebagaimana dirancang secara bersama antara MPSP dan
Syarikat Think City Berhad (ThinkCity) di bawah Projek Butterworth
Baharu.