Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Sehingga kini
sejumlah 20,887 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A (kos rendah) dan
Jenis B (kos sederhana rendah) dibina di Pulau Pinang, berbanding
5,124 unit sahaja dalam tempoh sama selama tujuh tahun sebelum 2008.
Exco Perancangan Bandar &
Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, jumlah rumah yang
berjaya dibina dalam era Kerajaan Negeri hari ini adalah menyamai
empat kali ganda berbanding tempoh sebelumnya ketika era pemerintahan
Barisan Nasional dahulu.
"Sejumlah 20,887 unit
ini adalah empat kali ganda jumlah 5,124 unit yang telahpun dibina
pada tujuh tahun yang sama sebelum kita mengambil alih pentadbiran
Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Ini jelas menunjukkan
bahawa Kerajaan Pakatan telahpun menunjukkan satu prestasi pencapaian
dari segi pembekalan rumah mampu milik, yang jauh lebih baik daripada
Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu," jelas Jagdeep pada
siri kedua Ekspo Perumahan Mampu Milik 2017, anjuran Kerajaan Negeri
di Pasar raya Prangin dekat Komtar baru-baru ini.
Ketua Menteri Y.A.B. Tuan
Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik
(DAP) Kebangsaan yang menyempurnakan majlis perasmian ekspo tahunan
kali kedua itu.
Hadir sama, Exco Kebajikan &
Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; serta ADUN Komtar, Teh Lai
Heng.
Menurut Jagdeep, Kerajaan
Negeri hari ini telahpun memperkenalkan Garis Panduan Perumahan Mampu
Milik 100% dengan kelulusan kepada pihak pemaju swasta membina
sejumlah RM18,387 unit rumah, tidak termasuk 20,887 unit Jenis A dan
Jenis B.
Tambah beliau, terdapat 14
lagi projek RMM pelbagai jenis yang terdiri oleh 26,255 unit kediaman
bakal dibina di kelima-lima daerah di negeri ini.
"Harganya adalah dalam
lingkungan RM42,000 sebanyak 787 unit, RM72,500 ada 8,388 unit serta
antara harga RM150,000 hingga RM300,000 sejumlah 17,080 unit,"
jelas beliau yang juga ADUN Datuk Keramat.
Di samping itu, Jagdeep
memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini senantiasa mencari jalan
untuk melaksanakan langkah-langkah penyejukan pasaran hartanah, dan
ketika ini kian memperlihatkan hasil.
"Menurut statistik dan
data yang dikumpul oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC),
Negeri Pulau Pinang mencatatkan penurunan harga purata perumahan
tertinggi di seluruh Malaysia, di mana berbanding purata penurunan
harga di seluruh negara adalah 0.7 peratus, negeri Pulau Pinang
mencatatkan penurunan sebanyak 3.2 peratus, iaitu dengan harga peruta
dari RM400,994 sehingga RM388,319," jelas Jagdeep.
Dalam perkembangan
berkaitan, Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Pulau
Pinang sekali lagi menggesa Bank Negara Malaysia (BMN) supaya
melonggarkan syarat permohonan pinjaman perumahan bank demi
memastikan lebih ramai pembeli RMM kali pertama mampu miliki rumah
idaman masing-masing.
Tegasnya, Persatuan Pemaju
Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sebelum ini mendedahkan kadar
penolakan permohonan pinjaman perumahan ketika ini melebihi 60
peratus, sungguhpun Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam
satu kenyataan berasingan baru-baru ini antara lain memberitahu kadar
kelulusan pinjaman perumahan adalah setinggi 73.8 peratus.
Tegasnya lagi, Kerajaan
Negeri dan pihak pembangkang Pulau Pinang dalam isu penolakan
permohonan pinjaman perumahan bank ini saling bersetuju untuk
menghantar usul bersama kepada Kerajaan Pusat, untuk penyelesaian
lanjut.
"Satu dialog telahpun
diadakan pada tahun dahulu (2016), dan adalah diharapkan Dialog Meja
Bulat kedua ini dapat membincangkan semula isu ini dengan
cadangan-cadangan yang bernas daripada semua pihak yang
berkepentingan," jelas Jagdeep.
Pada perkembangan lain,
Jagdeep memberitahu Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari
ini melahirkan rasa hampa atas prestasi buruk Kerajaan Pusat yang
didakwa gagal membekalkan unit kediaman di bawah skim Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia
(PPA1M) untuk warganegara yang mendiami negeri ini.
"Sehingga hari ini,
satu unit pun masih belum dibina di negeri Pulau Pinang," tegas
Jagdeep.