Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Terpulang
kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk
menerima atau tidak usul pihak pembangkang mendesak peletakkan
jawatan Ketua Menteri pada sesi persidangan yang dijadualkan pada 19
Mei ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan
Lim Guan Eng berkata demikian sebagai respons pada kenyataan media
Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin
Osman pada hari ini.
"Di Pulau Pinang, kita
amalkan demokrasi dan akan membenarkan sebarang usul.
"Akhirnya terpulang
kepada Speaker lah, namun Kerajaan Negeri sangat ambil perhatian
untuk tidak menolak (usul pembangkang) ini," respons Guan Eng
yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Air Putih kepada pemberita di sini, tengah hari tadi.
Guan Eng berkata amalan DUN
Pulau Pinang dan Selangor bukanlah seperti Dewan Rakyat hari ini,
yang membenarkan Presdien Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membentangkan
usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenaya) atau RUU355 pada 6 April lalu, lalu menangguhkan perbahasan
ke sesi persidangan seterusnya pada 24 Julai depan.
Zainal Abidin dalam
kenyataannya hari ini antara lain menuduh Guan Eng cuba membalas
dendam dengan menggambarkan kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor
Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat pada 5 April lepas sebagai
menyokong mangsa rogol dibenarkan mengahwini perogol demi mengubati
masalah sosial.
Zainal Abidin menuduh Guan
Eng cuba membalas dendam apabila Shabudin sebelum ini mengaitkan
Ketua Menteri itu terlibat dalam menjual sebidang tanah awam milik
negeri kepada pihak swasta dengan harga di bawah pasaran yang
sebenar.
Menjawab tuduhan Zainal
Abidin tersebut, Guan Eng mempersoal wibawa pemimpin Umno dan Barisan
Nasional sejak pertengahan tahun lepas langsung tidak mengkritik
Shabudin, yang sebelum ini dikaitkan menjual sebidang tanah awam
milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Katanya, tanah awam PERDA
seluas 3.461 hektar (ha) di Tok Keramat dekat Seberang Prai Selatan
(SPS) itu dijual pada harga RM1.427 juta, sedangkan nilai pasaran
sebenar adalah RM16.636 juta berdasarkan penilaian duti setem itu.