Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN - Ketua Menteri,
Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hari ini berkata beliau tidak mempunyai niat
membalas dendam ketika mengkritik pendapat Ahli Parlimen Tasek
Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat pada 5 April lepas
berhubung isu mangsa rogol dibenarkan mengawini perogol demi
mengubati masalah sosial.
Demikian respons Guan Eng
pada kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri
Zainal Abidin yang mahu Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid
mengemukakan usul pemecatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dijadualkan pada 19 Mei
depan.
“Ia (hasrat pembangkang
mengemukakan usul pemecatan Ketua Menteri) menunjukkan bahawa Umno
tidak ada 'rasa' kepentingan rakyat dalam hati mereka, sedangkan kita
(Kerajaan Negeri) buat usul tersebut kerana rakyat marah dengan
kenyataan Shabudin.
"Sekiranya ingin
membalas dendam, Kerajaan Negeri mempunyai banyak usul terhadap
Shabudin dan salah satunya berhubung skandal penjualan tanah Perda di
bawah harga pasaran di Seberang Perai Selatan (SPS) dengan kerugian
RM15.2 juta," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada sidang
media di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut, Guan Eng
mendedahkan tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA)
yang dijual oleh pihak Shabudin kepada syarikat pemaju SYT Prestige
Sdn. Bhd. itu sepatutnya dibina rumah kos rendah untuk rakyat
Namun, dedah Guan Eng lagi,
Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima permohonan untuk
membina 27 unit kedai pejabat; dan permohonan tersebut ditolak pada
19 April 2016 kerana tidak memenuhi syarat.
Pada 10 April lalu, Zainal
Abidin dalam kenyataan media antara lain menuduh Guan Eng membalas
dendam apabila Shabudin sebelum ini mengaitkan Ketua Menteri itu
terlibat dalam menjual sebidang tanah awam milik negeri kepada pihak
swasta dengan harga di bawah pasaran yang sebenar.
Dalam reaksi balas, Guan Eng
memberitahu terpulang kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri
Pulau Pinang untuk menerima atau tidak usul pihak pembangkang.
"Di Pulau Pinang, kita
amalkan demokrasi dan akan membenarkan sebarang usul.
"Akhirnya
terpulang kepada Speaker lah, namun Kerajaan Negeri sangat ambil
perhatian untuk tidak menolak (usul pembangkang) ini," respons
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Kebangsaan kepada pemberita pada hari sama.