10 April 2017

Guan Eng persoal LHDN tak kutip cukai daripada Jho Low, 1MDB



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE T0WN - Kerajaan Pusat mungkin akan mendapat hasil cukai sehingga RM5 bilion jika penguatkuasaan berwajib dilaksanakan ke atas Jho Low dan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ketika ini dikaitkan dengan pelbagai skandal kewangan di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini berhubung hasrat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mahu bertindak ke atas 10 syarikat gergasi yang melakukan pengelakan cukai melampau, termasuk dua firma yang dimiliki oleh individu bergelar "Tan Sri".

"Kalau dikenakan ke atas Jho Low atau 1MDB, saya rasa boleh dapat (hasil cukai) lebih daripada RM1 bilion atau mungkin RM2 bilion atau RM5 bilion.

"Mengapa Jho Low ada keistimewaan, mengapakah mereka tak siasat sumber pendapatan dan cukai (Jho Low)," jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan dalam sidang media di sini pada petang tadi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut mempertikai sikap berat sebelah Kerajaan Pusat melalui LHDN yang dilihat seakan langsung tidak bertindak ke atas Jho Low dan syarikat berkaitan Kementerian Kewangan Malaysia, 1MDB.

Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah dilaporkan berkata syarikat terbabit akan diarahkan untuk membayar jumlah cukai sebenar serta akan dikenakan penalti berjumlah RM800 juta.

Menurut akhbar arus perdana itu lagi, LHDN sedang memburu sekurang-kurangnya 50 lagi syarikat korporat terkemuka di negara ini dalam sektor telekomunikasi, hartanah dan perladangan yang dikesan turut melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Terdahulu, Guan Eng mendesak Kerajaan Pusat membatalkan passport perjalanan Jho Low untuk membawa ahli perniagaan kontroversi itu ke muka pengadilan di tanah air ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus