Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan tidak pernah mencampuri urusan berkaitan fatwa di Pulau Pinang.
Mufti Negeri, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memberi ulasan itu sebagai menjawab tuduhan Pesuruhajaya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof yang dilaporkan berkata semua fatwa terpaksa mendapatkan persetujuan exco kerajaan negeri sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Wan Salim, fatwa Pulau Pinang yang dibawa ke majlis mesyuarat kerajaan negeri hanya untuk tujuan “pemberitahuan”, sebelum ia dihantar ke pejabat penasihat undang-undang negeri untuk diperbaiki susunan ayatnya.
“Ia hanya untuk makluman sahaja. Setakat ini, belum pernah exco menghalang pewartaan fatwa.
“Apabila mesyuarat Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, maka ia terlebih dahulu dikemukakan ke dalam mesyuarat exco oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Ia kemudian dihantar ke pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk diperbaiki susunan katanya dan selepas itu dihantar ke Istana Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata Wan Salim, dipetik dari berita atas talian Free Malaysia Today (FMT) pada hari ini.
Semalam, PAS dilaporkan menuduh Kerajaan Pulau Pinang yang terajui Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencampuri proses penfatwaan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Yang di-Pertuan Agong.
Mengikut undang-undang negeri, Muhammad Fauzi berkata, jawatankuasa boleh mengeluarkan fatwa yang perlu dipersembahkan kepada Agong untuk diperkenankan, sebelum diwartakan sebagai fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004.
Namun, kata Muhammad Fauzi lagi, campur tangan kerajaan DAP-PKR itu adalah bertentangan dengan Seksyen 48 enakmen, yang menyatakan semua fatwa yang dikeluarkan di Pulau Pinang perlu dipersembahkan kepada Agong untuk dipertimbangkan.
Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri tidak beraja, seperti Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment