19 December 2016

MPSP harap SPICEC 2016 tarik peminat aktiviti tinjau burung hijrah sedunia ke Seberang Perai

ROMBONGAN wartawan dibawa menjelajah Hutan Pendidikan Taman Air Itam Dalam, untuk menikmati potensi eko-pelancongan di sini baru-baru ini.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

Persidangan Antarabangsa Seberang Perai Untuk Eko-Pelancongan Dan Usaha-Usaha Memulihara Alam 2016 (SPICEC 2016) baru berlangsung di The Light Hotel dekat Seberang Jaya selama tiga hari bermula pada 24 November.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato' Maimunah Mohd. Sharif berharap persidangan antarabangsa yang buat julung-julung kali dianjurkan itu mampu mempromosikan beberapa destinasi eko-pelancongan di bahagian Seberang Perai. 

"Objektif persidangan ini antaranya untuk mewujudkan ruang kepada para peserta industri, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk saling berkongsi pandangan, idea-idea dan strategi bagi menggalakkan industri eko-pelancongan dan juga usaha-usaha pemuliharaan dalam eko-pelancongan itu sendiri.

"Semua peserta persidangan antarabangsa ini turut akan dibawa melawat beberapa tapak eko-pelancongan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) seperti Hutan Pendidikan Air Itam Dalam dan Pasar Bisik; dan di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pula seperti Pulau Burung dan Jeti Batu Musang," ujar Maimunah dalam persidangan itu.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (tengah) bersama-sama barisan pemimpin MPSP lain merakamkan gambar dengan para pembentang SPICEC 2016 di The Light Hotel Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Ujarnya, persidangan ini selari dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2012 yang menekankan bahawa industri eko-pelancongan mempunyai kesan yang positif dalam meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan pendidikan dalam usaha mana ganu masalah kemiskinan dan kebuluran.

"Dalam persidangan ini, para pembentang kertas kerja yang berpengalaman luas dalam bidang eko-pelancongan akan berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka.

"Dengan peningkatan jumlah para pelancong berasaskan pada eko secara mendadak di rantau Asia Tenggara belakangan ini, persidangan ini merupakan satu langkah tepat untuk mengetengahkan pendapat dan pengalaman para penggiat industri eko-pelancongan ke dalam forum antarabangsa," jelas Maimunah lagi.

Pengarah Local Government for Sustainability (ICLEI) Asia Tenggara, Vic Aquitania, Datuk Seri Mirza Mohamad Taiyib (Ketua Pengarah Tourism Malaysia), Dr. Dzaeman Dzulkifli  (Pengarah Eksekutif Tropical Rainforest Conservation & Research Centre, Malaysia), Prof. Dr. Badaruddin Mohamed dan Dr. Foong Swee Yeok (ahli akademik Universiti Sains Malaysia) serta Andrew Sebastian (Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif Ecotourism & Conservation Society of Malaysia, ECOMY) antara pembentang dalam persidangan tersebut.

Pembentang lain, antaranya Ahli Jawatankuasa Eksekutif & Pengasas Bersama Asia Bird Fair Network dari Taiwan, Victor Yu, Peter Cornthwaite (Ketua Pegawai Eksekutif World Wildlife Federation dari Hong Kong), Ted Flyod (editor Bird Magazine, American Birding Association dari Amerika Syarikat), Ary Suhandi (Pengarah Eksekutif Indonesia Ecotourism Network) dan Prof. Madya Dr. Parichart Visuthismajarn  (ahli akademik Prince of Songkhla University).

"Para penceramah berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai eko-pelancongan di rantau Asia Tenggara, usaha-usaha pemuliharaan alam melalui industri eko-pelancongan dan bagaimana budaya terkini meninjau buru (bird watching) boleh menjadi produk pelancongan terbesar dalam industri eko-pelancongan Seberang Perai," jelas Maimunah sebelum membawa para SPICEC 2016 melawat empat destinasi eko-pelancongan sekitar SPU dan SPS.

GAMBAR nelayan tempatan membawa hasil laut, yang sempat dirakam di Pasar Bisik dekat SPU baru-baru ini.


HUTAN PENDIDIKAN AIR ITAM DALAM

Berkeliaran 11 ekar, kawasan paya air tawar ini merupakan habitat kepada lebih 150 spesis burung, termasuk menjadi salah satu destinasi pilihan utama burung hijrah.

Menurut wakil MPSP, kebiasaannya burung hijrah ini akan tiba di kawasan ini sekitar bulan Oktober hingga Jun, saban tahun.

"Pelancong eko-pelancongan tahu bilakah burung hijrah paling kerap hijrah di sini.

"Melihat potensi eko-pelancongan ini di Hutan Pendidikan Air Itam Dalam ini, terdapat pelbagai kemudahan untuk pelancongan eko-pelancongan seperti menara tinjau, jambatan gantung dan laluan pejalan kaki di atas kawasan paya air tawar ini," jelas wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kepada pemberita dalam lawatan berasingan baru-baru ini.

BERBISIK, merupakan keunikan budaya tawar-menawar harga ikan antara nelayan dan pengunjung di Pasar Bisik di sini.


PASAR BISIK

Pasar Bisik dekat Penaga ini terkenal, menjadi simbol perkongsian budaya niaga nelayan antara dua sempadan negeri, Pulau Pinang dan Kedah.

Lawatan ke sini menyaksikan suasana pasar tradisional dengan aktiviti jual beli hasil laut secara laungan harga.

Menurut naratif penduduk tempatan, saling berbisik antara penjual dan pengunjung pasar ini sebenarnya adalah proses tawar-menawar harga jualan hasil laut.

"Selalunya dibisikkan 'tambah RM1' akan disebut oleh pembeli pada harga yang diniatkan oleh penjual, jika saling bersetuju barulah akad jual beli dilakukan," jelas sumber.

Sumber memberitahu, pasar ini paling sesuai dilawati pada lewat pagi, bagi mendapatkan pelbagai hasil laut yang segar langsung daripada tangan nelayan tempatan.

Sepasang burung hijrah yang sempat dirakamkan lensa kamera Buletin Mutiara, ketika melawat Pulau Burung dekat SPS.


PULAU BURUNG 

Sesuai dengan namanya, di sinilah salah satu lagi destinasi pilihan burung hijrah daripada pelbagai pelusuk dunia.

Bagi peminat burung, khususnya burung hijrah, Pulau Burung adalah kawasan yang paling menarik di Seberang Perai untuk dilawati.

"Pulau Burung merupakan sebuah pulau yang terhasil daripada pertembungan di antara Sungai Kerian dan Sungai Tengah.

"Hampir keseluruhan kawasan Pulau Burung adalah terdiri daripada kawasan pokok bakau, kecuali di kawasan pelupusan sampah dan kawasan tanah paya yang juga kawasan pokok bakau pada asalnya," ujar seorang lagi wakil MPSP yang mengetuai rombongan wartawan melawan kawasan eko-pelancongan di sini.

Katanya, kawasan tanah paya ini merupakan habitat utama bagi burung tempatan dan lokasi utama bagi peminat aktiviti memerhati burung.

"Jenis burung yang boleh ditinjau di sini antaranya The Black-Capped, Kingfisher, Bee-Eaters, Black-Winged Stilts, Whiskered Tern, Little Grebe dan banyak lagi," jelas wakil MPSP.

Rombongan para pegawai MPSP bersama-sama pengamal media merakamkan gambar di destinasi eko-pelancongan terakhir di Jeti Batu Musang di sini.


JETI BATU MUSANG 

Jeti ini adalah destinasi eko-pelancongan terakhir bagi semua peserta SPECEC 2016, kata pegawai MPSP menyambut rombongan wartawan di sini.

Menurut beliau, agensi negeri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membelanjakan kira-kira RM15.5 juta untuk membina jeti ini, manakala RM3.8 juta lagi dana lain daripada Kementerian Pelancongan Malaysia.

"Jeti ini sangat penting kerana penduduk setempat terlibat dalam menyediakan perkhidmatan bot ke kawasan pelancongan Pulau Aman, beroperasi sejak tahun 2006 lagi," ujar pegawai MPSP berkenaan

Menurut naratif seorang penduduk tempatan Pulau Aman sendiri, Jeti Batu Musang dahulunya turut digunakan untuk mengangkut batu kuari dengan menggunakan tongkang, untuk pembangunan Pulau Pinang.

"Pengunjung bukan sahaja berpeluang melawat destinasi eko-pelancongan dengan suasana pesisiran pantai yang ini, malah dapat melihat budaya masyarakat Melayu Pulau yang asal di Pulau Aman, jika menyeberang dengan bot dari Pulau Batu Musang ini.

"Jika ke Pulau Gedung Ubat, kedudukannya bersebelahan Pulau Aman, peminat eko-pelancongan bukan sahaja boleh merasai pengalaman merentas hutan dara yang indah, malah boleh melihat sendiri tempat simpan peluru dan bahan letupan yang dipercayai tinggalan bersejarah era kolonial dahulu," seloroh seorang penduduk asal di sini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus