KETUA Menteri serta para pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain meninjau keadaan LRA Sungai Dua di sini pada pagi tadi. |
Zainulfaqar Yaacob
Sungai Dua | 3 Jun 2016 | 10.36
PAKEJ 12 Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang dirasmikan pembukaan oleh Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada pagi ini bagaikan "jantung kehidupan" untuk 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, loji ini merawat 80 peratus sumber air mentah Pulau Pinang dari terusan Sungai Muda dalam sempadan negeri ini.
"Air mentah adalah segala-galanya, kita (Kerajaan) boleh membina loji rawat air yang lebih besar lagi, tetapi jika tiada sumber, tak berguna lagi.
"Super El Nino menyebabkan semua negeri melaksanakan catuan air baru-baru ini, tetapi Pulau Pinang merupakan negeri tunggal yang tidak pernah menjalan catuan air.
"Jadi, adakah Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan untuk menjamin bekalan air untuk semua Wilayah Utara," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Perasmian LRA 12 di sini pagi ini.
Difahamkan LRA Sungai Dua merupakan loji rawatan air terbesar di Malaysia, kali ketujuh dinaiktaraf baru-baru ini, sejak dibina pada era Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri pada tahun 1973.
Sehingga bulan Disember 2012, nilai buku bersih LRA Sungai Dua adalah RM193.4 juta dan pada Januari tahun ini, Pakej 12 telah siap dengan kos tambahan sebanyak RM54.9 juta.
Dalam nilai ringgit, pelaburan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini pula berjumlah hampir RM250 juta, tanpa mengambil kira 'nilai sebenar' LRA Sungai Dua ini.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng sekali lagi menuntut Kerajaan Pusat campur tangan, serta menunaikan janjinya untuk memajukan Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) dengan membiayai peruntukan RM2 bilion, demi menjamin bekalan air mentah selepas tahun 2020 di Pulau Pinang mencukupi.
Sebelum itu, Pengerusi Besar PBAPP, Dato' Ir. Jaseni Maidinsa dalam ucapannya memberitahu, Pakej 12 LRA Sungai Dua meningkatkan kapasiti rezab air terawat di negeri ini pada 36.3 peratus, merupakan tertinggi di negara ini.
"Dalam pengetahuan saya, tidak ada loji rawatan air di negara ini yang dinaiki taraf setanding ini.
"Pada tahun 2015, PBAPP membekal secara purata 1014.5 juta air terawat sehati (JLH) di negeri ini, tetapi pembukaan LRA Sungai Dua telahpun meningkatkan kapasiti simpanan rawatan air sembilan loji rawatan Pulau Pinang mencapai 1,593 JLH.
"Kapasiti rawatan air di negeri Pulau Pinang kini 36.3 peratus melebihi permintaan atau rizab air terawat kini adalah 36.3 peratus," jelas Jaseni lagi.
Selain itu, Jaseni turut menggesa Kerajaan Pusat supaya segera mewartakan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda demi mengelak pembalakan luar kawal berulang, yang akhirnya menjejaskan kapasiti sumber air mentah untuk empat juta penduduk di Perlis, Kedah Pulau Pinang serta Utara Perak.
No comments:
Post a Comment