20 May 2016

Usul beku urusan tanah babit 1MDB diterima majoriti ADUN P.Pinang

LAW Choo Kiang


Zainulfaqar Yaacob
20 Mei 2016 | 10.47 malam 

GEORGE TOWN - Lintang pukang kesemua ADUN Umno meninggalkan mesyuarat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, ketika Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengemukakan satu lagi usul berhubung kes tanah membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di bawah peraturan 34 (viii) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, usul itu berbunyi, "Skandal 1MDB sebanyak RM50 bilion yang mencipta sejarah buat kali pertama mengakibatkan sebuah syarikat milikan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia gagal (default), atau tidak dapat melangsaikan bayaran faedah yang diwajibkan dibayar sebanyak dua kali, setiap kali melibatkan jumlah faedah sekurang-kurangnya USD50 juta.

"Justeru itu, demi kepentingan awam adalah diputuskan bahawa semua urusan berkaitan dengan 1MDB di Pulau Pinang harus dibekukan sehingga satu penjelasan penuh diberikan olehnya tentang skandal ini dan impaknya kepada rakyat serta juga tentang urusan pembelian dan penjualan tanah, khususnya 234 ekar tanah di Air Itam yang dibeli dengan harga RM1.38 bilion sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 serta membabitikan hampir 3,000 keluarga dan pembangunan perumahan berskala besar.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) mengambil bahagian pada sedi perbahasan usul itu.

Susulan itu, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang menetapkan usul tersebut disetujui berdasarkan pungutan suara anggota mesyuarat di sini.

Berikut adalah teks ucapan Ketua Menteri berhubung usul tersebut:

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
MENGENAI USUL SKANDAL 1MDB
PADA 20 MEI 2016
 
1. Saya ingin mengemukakan satu usul di bawah peraturan 34 (viii) Peraturan – Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang seperti berikut : - 
“Bahawa Dewan yang mulia ini prihatin tentang skandal 1MDB sebanyak RM50 bilion yang mencipta sejarah buat kali pertama mengakibatkan sebuah syarikat milikan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia gagal (default), atau tidak dapat melangsaikan bayaran faedah yang diwajibkan dibayar sebanyak dua kali, setiap kali melibatkan jumlah faedah sekurang-kurangnya USD50 juta. 
Justeru itu, demi kepentingan awam adalah diputuskan bahawa semua urusan berkaitan dengan 1MDB di Pulau Pinang harus dibekukan sehingga satu penjelasan penuh diberikan olehnya tentang skandal ini dan impaknya kepada rakyat serta juga tentang urusan pembelian dan penjualan tanah, khususnya 234 ekar tanah di Air Itam yang dibeli dengan harga RM1.38 bilion sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 serta membabitikan hampir 3,000 keluarga dan pembangunan perumahan berskala besar.” 
2. Skandal RM50 bilion 1MDB tidak boleh ditutup melainkan Kerajaan Persekutuan tampil ke depan secara berani membersihkan nama mereka dengan:
Mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara secara umum berkenaan skandal terbabit
Mengira kos impak negatif kegagalan melangsaikan hutang buat kali pertama dalam sejarah oleh entiti kerajaan bulan lalu dan awal bulan ini dalam bentuk bayaran faedah berjumlah USD50 juta masing-masing, dan Memberi justifikasi mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas skandal yang begitu besar sedangkan tangkapan dan dakwaan telah dibuat oleh negara-negara asing terhadap mereka yang bertanggungjawab berhubung skandal ini 
3. Apakah yang cuba disorok atau diselindungi oleh Kerajaan Malaysia apabila enggan mendedahkan laporan Ketua Audit Negara kepada umum? 
4. Menyelamatkan 1MDB dengan memindahkan kesemua baki asetnya ke Kementerian Kewangan tidak akan menyelesaikan masalah kerana 30 juta rakyat Malaysia masih perlu menanggung beban hutang yang mungkin berjumlah lebih RM55 bilion. Barangkali kesemua hutang 1MDB juga diambil alih oleh Kementerian Kewangan. Jika tidak, bagaimana 1MDB dapat membayar hutang-hutangnya apabila ia tiada sebarang aset sekarang, yang akhirnya masih memerlukan kerajaan Malaysia untuk menyelamatkannya kerana ia adalah syarikat hak milik kerajaan, dan Kerajaan Persekutuan turut menjamin beberapa hutang 1MDB. 
5. Malah jenis serta nilai aset 1MDB yang dipindahkan kepada Kementerian Kewangan juga boleh dipertikaikan. Aset ketara 1MDB yang masih tinggal adalah tanah Tun Razak Exchange Bandar Malaysia di Kuala Lumpur (diberikan pada harga rendah tanpa tender terbuka dan dijual semula oleh 1MDB dengan keuntungan berlipat ganda), tanah seluas 234 ekar di Air Itam yang dibeli dengan harga RM1.08 bilion, tunai berjumlah RM2.3 bilion dan pelaburan berjumlah RM14 bilion yang nilainya diragui. Kesemua hutang ini berjumlah RM50 bilion dan sekiranya bayaran faedah diambil kira, maka jumlah hutang boleh sahaja melebihi RM55 bilion. 
6. Di samping itu, skandal 1MDB telah memaksa GST dilaksanakan dan penurunan nilai mata wang ringgit yang amat menyusahkan rakyat. Apabila hutang RM55 bilion 1MDB tidak boleh dibayar, maka siapa yang membayarnya? Perlu diingatkan bahawa setiap rakyat Malaysia perlu membayar RM1,800 seorang. 
7. Dan lagi, menurut dakwaan agensi-agensi berita perniagaan antarabangsa, jumlah wang derma yang masuk ke dalam akaun peribadi YAB Perdana Menteri telah meningkat ke angka RM4.2 bilion. Biarpun dijanjikan tindakan undang-undang oleh YAB Perdana Menteri di negara masing-masing kerana dakwaan memfitnah, masih tiada tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri di peringkat antarabangsa. 
8. Disebabkan masih terdapat soalan-soalan 1MDB yang masih belum dijawab, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membekukan kesemua urusniaga tanah yang seluas 234 ekar di Air Itam yang dibeli oleh 1MDB sehingga wujud kejelasan, kepastian dan kecekapan dalam mengambil kira kesemua masalah yang telah berlaku. Malah untuk tanah di Pulau Pinang, 1MDB tidak membeli 100% milikan tanah. 
9. Ini merupakan suatu pembelian yang janggal dan mengarut, kerana tiada pemaju perumahan yang serius akan membeli tanah kecuali mendapat milikan 100% kerana undang-undang Malaysia memperuntukkan bahawa sebarang pembangunan mestilah mendapat pengesahan 100% oleh pemiliknya. Dan apabila tanah tersebut dibeli ketika menjelang Pilihan Raya Umum 2013, Perdana Menteri sendiri telah berjanji untuk membina 9,999 unit perumahan rakyat bagi menampung lebih 3,000 keluarga setinggan di sana.  
10. Terdapat kebimbangan awam sama ada janji-janji ini masih praktikal dan dapat dilaksanakan memandangkan kos yang besar telah dilaburkan serta tiada 100% milikan tanah. Keutamaan Kerajaan Negeri ialah untuk berdiri teguh bersama lebih 3,000 keluarga setinggan ini. 
11. Atas sebab itu, sehingga kesemua persoalan yang disenaraikan di atas diambil kira dan diperjelaskan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan membenarkan sebarang urusniaga tanah, sama ada permohonan tukar hakmilik tanah atau kebenaran gadaian, mestilah mendapat pengesahan EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang. 
Saya mohon mencadangkan.  
LIM GUAN ENG

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus