KETUA Menteri (depan, berbaju putih) meramahi beberapa warga emas yang mengunjungi uil Arulmigu Sri Ruthra Veeramuthu Mariamman Devasthanam di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
AIR ITAM - Dua Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Dr. Afif Bahardin disenaraihitamkan serta dilarang masuk ke Sarawak menjelang Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 25 April.
Sambil mengecam tindakan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem supaya bersikap lebih adil dan demokratik kepada ahli politik tanah air.
"Ini adalah penyalahgunaan kuasa.. Ini sesuatu yang tidak adil...saya nak kecam tindakan sedemikian.
"Jangan larang pemimpin-pemimpin dari Semenanjung Malaysia dari datang ke Sarawak, sebelum (PRN Sarawak) tiada masalah untuk kita datang," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada pemberita pada 10 Mac lalu.
Beliau berkata demikian selepas menyertai pra upacara meranduk api serta menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada wakil Kuil Arulmigu Sri Ruthra Veeramuthu Mariamman Devasthanam di sini.
Hadir sama, ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai dan A.Thanashekaran (ADUN Bagan Dalam).
Terdahulu, Dr. Afif yang juga ADUN Seberang Jaya ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Sarawak ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 13 April lalu.
Manakala, Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung ditahan 10 April.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 37 ahli parlimen pembangkang, aktivis dan ahli akademik telah dilarang ke bumi kenyalang itu.
Mereka, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan) dan Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara), Clare-Rewcastle Brown (Editor portal berita atas talian Sarawak Report) juga berada dalam senarai itu.
No comments:
Post a Comment