Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
SEBERANG JAYA - Festival Pinggiran Butterworth Kedua 2016 (BFF) kembali lagi pada 13 dan 14 Ogos depan di perkarangan Jalan Jeti Lama.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap festival itu suatu hari nanti semeriah Adelaide Fringe dekat Australia, yang dikenali sebagai festival kedua terbesar dunia dengan lebih 900 acara.
BFF mulai dianjurkan pada tahun lalu, manakala Adelaide Fringe pula sejak 1960.
"Ini, adalah usaha bersama Kerajaan Negeri dan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) untuk membangunkan kawasan Seberang Perai sebagai medan seni dan budaya," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda pada tengah hari tadi.
Sidang media promosi BFF 2016 itu turut disertai Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif, Joe Sidek (Pengarah Festival) serta para Ahli Majlis MPSP lain.
Maimunah memberitahu bahawa BFF merupakan festival pinggiran yang pertama dianjurkan di Malaysia dan tiada seumpama ini di negeri-negeri lain.
Manakala, Joe Sidek pula berharap promosi media dapat menggandakan jumlah pengunjung ke BFF 2016 nanti, berbanding kira-kira 30,000 orang ke festival kali pertama pada tahun lepas.
Tahun lalu, BFF memaparkan keunikan persembahan kategori jalanan, penerangan, kepelbagaian makanan dan acara permainan dari tempatan dan antarabangsa, selama dua hari.
No comments:
Post a Comment