08 March 2016

Lima tahun KLS Martin labur RM100 juta, buka firma peranti perubatan di Pulau Pinang

KETUA Menteri (enam dari kiri) menerima cenderamata daripada Christian Leibinger (lima dari kiri) sambil disaksikan oleh Mohd. Rashid Hasnon (empat dari kiri), Karl Leibinger (tiga dari kiri), Hans Peter Brenner (dua dari kiri) serta para pemimpin KLS Martin lain pada majlis pembukaan firma peranti perubatan berkenaan di sini, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 


BUKIT TENGAH - KLS Martin dari Jerman membuka firma peranti perubatan di Taman Perindustrian Ringan Juru, dengan pelaburan langsung asing (FDI) selama lima tahun kira-kira RM100 juta.


Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, syarikat multinasional itu turut merancang pembelian tanah seluas empat hingga lima ekar di Taman Sains Batu Kawan untuk mengembangkan prospek pelaburan mulai tahun depan.

"Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam perindustrian, selain elektronik, Pulau Pinang turut memberi tumpuan pada industri peranti perubatan dan alat pembedahan, LED (lampu kecil), automasi serta bioteknologi.

"Pada hari ini, kami (Kerajaan Negeri) gembira sebab sebuah syarikat yang terkenal dunia dalam peralatan pembedahan perubatan (iaitu) KLS Martin Malaysia (melabur) di Pulau Pinang," jelas Guan Eng pada Majlis Pembukaan Industri KLS Martin di sini, petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah KLS Martin Malaysia Sdn. Bhd., Dato’ Hans Peter Brenner, Karl Leibinger serta anaknya, Christian Leibinger (Presiden Kumpulan KLS Martin) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan Michael Martin (Presiden KLS Martin GmbH + Co. KG), wakil agensi negeri InvestPenang dan agensi persekutuan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Menurut Guan Eng, KLS Martin merancang kerjasama strategik dengan universiti-universiti tempatan atau institusi-institusi pengajian dan IKS (industri kecil & sederhana) demi menghasilkan produk Malaysia selewat-lewatnya dalam tempoh enam tahun dari tempoh penyelidikan yang dibuat oleh firma itu.

"Dalam tempoh lima tahun ini,  (KLS Martin) akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Dalam Pembedahan Umum, Pusat R&D (Penyelidikan & Pembangunan), serta Pusat Latihan Asia Tenggara.

"Lebih 500 peluang kerjaya akan diwujudkan untuk memenuhi keperluan perkembangan mereka (KLS Martin)," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Katanya lagi, kehadiran KLS Martin ke Pulau Pinang sekaligus menyerlahkan perindustrian di negeri ini masih berdaya saing, sungguhpun iklim ekonomi negara tidak menentu serta kian mencabar.

Sebelum itu, Hans Peter Brenner memberitahu, ketika ini jumlah FDI KLS Martin ke Malaysia berkembang sebanyak RM8 juta, dengan sokongan 40 pekerja.

Difahamkan, pelaburan ke Pulau Pinang direkodkan sebanyak RM8.2 bilion dengan peningkatan sebanyak 110 peratus, berbanding RM3.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam tempoh tujuh tahun antara 2008 hingga 2014, pelaburan ke Pulau Pinang direkodkan sebanyak RM48.2 bilion, dengan peningkatan 93 peratus berbanding tujuh tahun sebelum itu (2001 hingga 2007) sebanyak RM24.9 bilion.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus