Cakap-cakap politik beberapa tokoh pembangkang untuk bekerjasama dengan 'Pasukan Mahathir' turut menggamit perhatian saya.
Saya merupakan antara individu yang tegar berkongsi status Mukhriz FC di Facebook, tetapi ada pendirian yang berbeza dalam hal kerjasama dengan 'Pasukan Mahathir' ini.
Bagi saya, secara umumnya ada empat jenis kebangkitan jika ya nak dinisbahkan pada usaha-usaha menyingkirkan Najib Razak serta 'Selamatkan Malaysia'.
Pertama:
ATAS SENTIMEN PERIBADI
Contoh, pemberontakan dalam Umno susulan penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, yang didalangi oleh pro Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kebangkitan atau usaha-usaha memadamkannya hanya meninggalkan kesan kepada parti asabiah berkenaan.
Sama ada rakyat menyokong Mukhriz ataupun Najib, akhirnya Umno paling untung.
Ini kerana ia membabitkan kepentingan parti itu sahaja berbanding kepentingan rakyat terbanyak.
Kedua:
ATAS SENTIMEN PUAK
Hampir sama dengan yang jenis kebangkitan yang pertama.
Pembangkang, khususnya PAS cenderung menyokong Najib kekal sebagai Perdana Menteri.
Manakala, beberapa tokoh Pakatan Harapan pula cenderung 'bekerjasama' dengan Mahathir untuk menyingkirkan Najib.
Kalau Najib tersingkir pun, bukan senang-senang mereka mahu menyerahkan kuasa kepada Pakatan Harapan.
Selepas Mahathir mengundurkan diri dulu, yang dinaikkan sebagai Perdana Menteri adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Jika Najib tersingkir nanti, Mahathir tidak senang-senang memberi laluan kepada Pakatan Harapan untuk menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'Perdana Menteri Dalam Penantian'.
Najib dan Mahathir, kedua-dua puak ini adalah Umno. Mereka bersaing bukan untuk memenangkan Pakatan Harapan.
Tidak kiralah yang cenderung menyokong kekal Najib atau 'bekerjasama' dengan Mahathir, sebenarnya kerja untuk menumbangkan rejim BN, atau membantu memulihkan mereka untuk menaikkan seorang Perdana Menteri baharu daripada Umno jua?
Ketiga:
ATAS SENTIMEN KEPARTIAN
Parti memang 'kenderaan' untuk menyertai sistem pilihan raya hingga menubuhkan Kerajaan baharu seperti di Pulau Pinang dan Selangor dll.
Tapi, sentimen kepartian yang tajam, umpama membawa idea 'pakatan perubahan' + kerjasama Dr Mahathir selepas adanya dasar bersama di bawah Pakatan Harapan hanya akan menguntungkan kartel tertentu sahaja.
Parti mempunyai dasar yang jelas. Pakatan politik (tahaluf siyasi) atas nama Pakatan Harapan pun mempunyai wawasan yang lebih jelas serta dipersetujui bersama.
Antara dasar Pakatan Harapan adalah menerima Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri jika BN Umno tumbang, bukan nama lain sebagaimana disebut oleh kartel tertentu.
Lagipun sentimen kepartian ini lebih menjunjung kepentingan parti masing-masing (lebih teruk jika mengutamakan kepentingan kartel), yang semestinya akan disokong oleh akar umbi partisan sahaja, bukan rakyat terbanyak.
Keempat:
ATAS KESEDARAN MENYELURUH RAKYAT
Inilah agenda 'Selamatkan Malaysia' yang lebih besar daripada agenda bekerjasama dengan Mahathir atau 'Kekal Najib' atau rancangan kartel tertentu.
Agenda rakyat seperti integriti, tentang skandal kewangan Najib dan Umno BN, reformasi sistem pilihan raya dll perlu sekali lagi digoncangkan melalui kuasa rakyat, seperti himpunan aman BERSIH dll.
Pakatan Harapan, gabungan NGO dll perlu berdiri atas kekuatan rakyat, bukan bergantung harap atau lebih jijik berpolitik dengan bekerjasama bersama pasukan Mahathir untuk menyingkirkan Najib.
Tidak ada bezanya antara usaha Datuk Seri Abdul Hadi Awang cenderung mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri; dengan usaha-usaha tokoh Pakatan Harapan terbabit bekerjasama dengan Mahathir untuk menolak Najib.
Usaha-usaha ini hanya membantu mengolah persetujuan politik dalam Umno. Kalau Najib rebah, yang naik adalah orang Umno juga, bukan kuasa rakyat.
Setuju?
No comments:
Post a Comment