18 March 2016

Guan Eng tempelak Menteri isu harga maksimum rumah Pulau Pinang RM400,000

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Akhirnya Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan seakan mengaku bahawa Kerajaan Pusat yang menetapkan harga maksimum rumah mampu milik di negara ini,  termasuk di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sebelum ini Abdul Rahman menuduhnya berbohong apabila menyatakan Kerajaan Persekutuan lah yang menentukan harga maksimum RM400,000, dan bukannya Kerajaan Negeri.

"Rahman Dahlan bagaikan 'meludah ke langit, terkena muka sendiri' apabila secara tidak langsung dalam kenyataannya semalam, mengakui Perdana Menteri dan PR1MA menetapkan harga jualan maksima untuk rumah mampu milik sebanyak RM400,000 pada Bajet 2013," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen kepada pemberita di sini tengah hari tadi.

Di Parlimen 16 Mac lalu, Abdul Rahman dilaporkan menuduh Guan Eng berbohong mengenai isu siling harga rumah mampu milik RM400,000 bukan ditentukan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam reaksi balas, Guan Eng mengemukakan Laporan Ekonomi 2013/2014 serta ucapan Najib semasa membentangkan Bajet 2013.

Dalam ucapan belanjawan Pusat itu, antara lain tertera, "Demi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan di bawah RM3,000, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertama-Ku pada Mac 2011.

"Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan untuk menaikkan had harga rumah maksimum daripada RM200,000 kepada RM400,000. 

"Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012."

Susulan itu, Abdul Rahman mengaku bahawa Perdana Menteri yang menetapkan harga maksimum rumah Kerajaan, melalui Skim Rumah Pertama-Ku dan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Dalam respons Guan Eng tengah hari ini, Abdul Rahman turut didakwa berdalih sahaja apabila menyebut, "walaupun PR1MA dibenarkan untuk menjual rumah di paras harga maksima RM400,000, namun 84 peratus unit di bawah PR1MA tetap dijual di bawah harga RM300,000", demi lari daripada isu pokok.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun, Ramkarpal Singh  (Ahli Parlimen Bukit Gelugor), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan merangkap ADUN Datuk Keramat) dan Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu) turut sertai sidang media bersama-sama Guan Eng tengah hari tadi.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus