JANJI
Telur rebus yang berbelah dua tak disentuh. Laksa dan kuah pun tak bersentuh. Sekali sekala air kopi hitam pekat dalam cangkir dikacau, tapi tak jua disudu ke mulut.
"Kalau abang suka laksa dan kopi hitam di lorong kecil ini, sentuhnya tidak," seloroh Mona. Mona tahu Dia tak pernah putus asa. Walaupun tidak pernah dilafaz qasad hati, wajahnya tidak diam. Pernah dipujuk meninggalkan lorong kecil ini, tidak kata Mona.
Sejak itu, Dia tidak lagi mengajak. Dia datang dan setia di Lorong Kecil ini. Kalau Mona tidak menemanpun, semangkuk laksa dan secangkir kopi hitam ada di atas meja.
"Sebab Mona," ulang Dia membalas seloroh Mona. Masing-masing ketawa kecil, seperti sebumbung. Berkawan tanpa ada kepentingan, tidak seperti ahli politik di gigi kekuasaan.
"Mona berkereta, ada geran?" tanya Dia lagi. Katanya, Mona perlukan kereta dan bukan perlukan geran.
Terkebil Mona. Hal laksa dan kopi pun masih belum semua dijawab, terbang melayang ke hal kereta pula.
"Mona tak faham maksud Abang. Beli kereta memanglah ada geran," sambung Mona lagi. Mona nampak tertanya-tanya. Kenapa abang bertanya sebegitu.
Dia lihat Mona. Redup. Mona menyelak rambut yang menutup wajahnya. Tanda bersedia untuk menjamah kata-kata daripada Dia.
"Geran itu tanda ada ikat janji. Dengan kereta pun ada ikat janji, Mona bekerja di Lorong Kecil ini tanpa apa pun ikat janji," kata Dia.
Mona tunduk, bukan marah. Gadis itu faham bahawa hatinya sedang disentuh Dia. Dia bercakap memang mudah, mudah menyentuh Mona.
"Cakap, cakap juga. Sejuk laksa dan kopi tak disentuh lagi," balas Mona menyembunyikan rasa. Mereka saling senyum dan menikmati makanan di meja.
Dia pun makan laksa sambil bersulam kopi di mejanya, mengejar Zuhur yang kian pergi berlalu.
No comments:
Post a Comment