SEORANG kakitangan JKJR menunjukkan topi keledar mengikut piawaian ditetapkan (kiri) dan topi keledar yang tidak menepati piawaian yang dirampas dari penunggang motosikal di sini baru-baru ini. |
PERAI – 30 unit topi keledar menepati piawaian serta 30 topi keledar kanak-kanak diedar kepada penunggang motosikal, sempena menyambut perayaan Tahun Baru Cina Peringkat di sini baru-baru ini.
Mewakili Kerajaan Negeri, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng berharap inisiatif tersebut dapat menyemarakkan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati pada musim perayaan.
“Walaupun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya semakin menurun saban tahun, namun angka kemalangan itu sendiri semakin tinggi.
“Perasmian kempen ini dijalankan untuk mnyedarkan semua pengguna jalan raya, terutamanya mereka yang pulang ke kampung (pada) musim perayaan ini, agar berwaspada dan sentiasa memandu dengan berhemah ketika berada di jalan raya,” ujar Hock Seng kepada pemberita baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berkenaan berkata demikian, selepas selesai mengedarkan helmet sempena Kempen Selamat Tahun Baru Cina, Selamat Di Jalan Raya Peringkat Negeri Pulau Pinang, di susur keluar jambatan pertama menghala ke Butterworth di sini.
Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Pulau Pinang, Mohd. Shoki Hamzah mendedahkan, statistik dari tahun 2012 sehingga tahun 2015 menunjukkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya menurun setiap tahun, iaitu 400 jumlah pada 2012 kematian berbanding 321 jumlah kematian (2015).
“Jumlah penurunan ini membuktikan kempen yang kita anjurkan sebelum ini berjaya dan mencapai matlamat.
“Walaupun begitu, kita akan tingkatkan lagi usaha dan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya agar negeri ini dapat mencapai kematian sifar kelak,” katanya.
Pada majlis perasmian kempen itu, sebanyak 500 goodies bag, 50 unit ves keselamatan, 500 unit stiker pantulan cahaya dan 100 botol minyak pelincir tajaan Petronas Lubricant Marketing Malaysia turut diedarkan kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, Hock Seng turut memberi 10 unit hamper perayaan kepada pengguna jalan raya bertuah, yang dipilih secara rawak.
No comments:
Post a Comment