MOHD. Faiz Subri diiringi isteri, Norzawanis Hashim dan anak, Akif Fayyadh merakamkan gambar kenang-kenangan selepas sidang media di sini petang tadi.
|
GEORGE TOWN – Ketua
Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap 'gol ajaib' yang
dihasilkan melalui sepakan percuma Mohd. Faiz Subri, 29, lalu luar jangka melencong ke gawang lawan baru-baru ini turut melayakkan
penyerang Pulau Pinang berkenaan menerima Anugerah Puskas FIFA 2016
kelak.
"Saya suka anggap ia
'gol ajaib' daripada Mohd. Faiz Subri yang sekarang mendapat
perhatian dunia dan media antarabangsa.
"Buat kali pertama
seorang pemain Malaysia, (hantaran) golnya disenaraikan sebagai calon
penerima (Anugerah) Puskas.
"Bukan kerana Mohd.
Faiz adalah penyerang Pulau Pinang, tetapi inilah harapan semua
peminat-peminat bola," jelas Guan Eng di sini, petang tadi.
Guan Eng turut menyerahkan
insentif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjumlah
RM10,000 kepada Mohd. Faiz, yang diiringi isteri, Norzawanis Hashim,
29, dan anak, Akif Fayyadh, 4.
Timbalan Ketua Menteri 1,
Dato' Mohd. Rashid Hasnon, dua Exco Kerajaan Negeri lain, Dato' Abdul
Malik Abul Kassim dan Dr. Afif Bahardin, serta Dato' Seri Farizan
Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut menyaksikan majlis
penyampaian insentif tersebut.
Turut serta, Presiden
Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dato' Seri Nazir Ariff
Mushir Ariff dan Ketua Jurulatih, Jackson F. Tiago serta anggota
jawatankuasa FAP lain.
Mohd. Faiz pada sidang media
sama memberitahu bahawa beliau berlatih membuat hantaran melencong,
dengan bimbingan Jackson.
"Sejujurnya, saya
sendiri masih terkejut selepas keesokan hari apabila bangun dari
tidur, tengok laman sosial dan internet ianya telah menjadi
viral.
"Masih jauh untuk sama seperti itu (Roberto
Carlos), saya memang ada berlatih mengambil sepakan percuma bersama
rakan-rakan lain seperti yang diarahkan oleh jurulatih,'' ujarnya
dalam nada rendah diri.
Manakala, Nazir Ariff dalam
sidang media berasingan sehari sebelum itu membuat lelongan atas
talian jersey nombor 13 Mohd. Faiz dengan bidaan mula senilai
RM100,000.
Katanya, lelongan itu antara
lain demi mendorong lebih banyak sektor korporat tampil menaja sert
menyokong FAP memburu sekurang-kurangnya tangga ke-6 teratas dalam
Liga Super 2016 musim ini.
Terdahulu, Mohd. Faiz pada
16 Februari lalu membuat hantaran melencong tersebut di Stadium
Bandaraya dekat di sini, semasa menentang pasukan pelawat dari Pahang
dan menang 4-1.
Rakaman "Knuckleball"
atau sepakan pada kelajuan rendah yang dihasilkan oleh Mohd. Faiz
kemudiannya bukan sahaja menggamit rasa kagum netizen, bahkan turut
mendapat liputan beberapa media antarabangsa seperti Sports
Illustrated, The Independent, Sydney Morning Herald, dan Mirror.
Mirror umpamanya
melaporkan, PuskasAward winner 2016? Watch the Malaysian
free-kick so bendy it defies laws of physics.
Sepakan
Mohd. Faiz juga disebut-sebut mirip teknik sepakan percuma "banana
kick" bintang bola sepak Brazil, Roberto Carlos ketika beraksi
menentang Perancis dalam kejohanan Tournoi
de France
pada 1997.
Anugerah
Puskas yang diwujudkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA) kepada penjaring gol tercantik sepanjang tahun, sejak 2009,
sempena memperingati penyerang Real Madrid era 1950-an, Ferenc
Puskás.
No comments:
Post a Comment