10 February 2016

15,000 hadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri Pulau Pinang

TUN Abdul Rahman Abbas diiringi Lim Guan Eng dan isteri serta para pemimpin Kerajaan Negeri lain menyempurnakan upacara tradisi 'Yee Sang' pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri Pulau Pinang di sPICE dekat Bayan Lepas baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Puan Betty Chew Gek Cheng baru-baru ini menerima kira-kira 15,000 tetamu, pelbagai kaum.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Seri Majimor Shariff merupakan tetamu paling utama pada majlis sambutan yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Pulau Pinang (sPICE) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Norazizah Haron, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy dan isteri, K. Kalaiarasi, serta para pemimpin Kerajaan Negeri lain.

Guan Eng meluangkan masa lebih sejam, meraikan para tetamu lain, antaranya, Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu serta Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Dr. Mansor Othman mewakili Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Presdien KeADILan).

SEKELUARGA berbangsa Melayu yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri Pulau Pinang turut mengambil kesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Lim Guan Eng sendiri di sini baru-baru ini.

Selain tetamu pelbagai bangsa, para pelancong asing turut kelihatan mencuba dan menikmati pelbagai juadah, sambil dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas.

Tidak kurang juga para pengunjung, khususnya Melayu mengambil kesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan.

Seperti sambutan perayaan tahun-tahun lalu, Betty Chew turut mencuri kesempatan menyampaikan "angpow raya" kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

BETTY Chew Gek Cheng (kiri) memberi "angpow raya" kepada anak bongsu Dr. Afif Bahardin (kanan) pada sambutan majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ketua Menteri Pulau Pinang di sPICE dekat Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Manakala, Guan Eng di pentas utama merakamkan ucapan ringkas sempena Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia di Pulau Pinang, khususnya buat komuniti Cina.

"Walaupun ekonomi negara kian mencabar, saya berharap akan ada tuah bukan sahaja kepada masyarakat Cina yang menyamut Tahun Baru Cina ini, malah rakyat Malaysia yang terdiri (oleh) pelbagai kaum.

"Walaupun (para pencerap) fengsui berpendapat bahawa Tahun Monyet Api ini akan membawa tuah kepada mereka yang lahir dalam tahun zodiak Kambing, saya tetap berharap pelaburan ke Pulau Pinang semakin baik dan kesusahan rakyat dapat terus dikurangkan melalui pelbagai program oleh Kerajaan Negeri, dalam era ekonomi negara serba mencabar sekarang ini," jelas Guan Eng.

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting masyarakat Cina bagi menyambut ketibaan tahun baharu dalam kalendar Lunar.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus