21 January 2016

Pengasingan sisa di punca mampu kurangkan 80 peratus sampah ke Pulau Burung, kata Yang di-Pertua MPSP

MAIMUNAH (dua dari kanan) bersama-sama Rozali Mohamud (paling kanan) meramahi pihak pengurusan dan wakil penduduk Taman Vila Oren semasa mengedarkan tong 5 liter di program sisa sifar anjuran MPSP baru-baru ini.

PADANG LALANG - Sampah yang dihasilkan dan dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung mampu dikurangkan sehingga 80 peratus, selepas amalan pengasingan sisa di punca dikuatkuasakan mulai 1 Jun nanti.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif berkata, sasaran itu tidak mustahil memandangkan Sony Perai berjaya mengurangkan 96 peratus sisa yang dihasilkan kilang mereka, kini.

“Contoh yang baik adalah kejayaan kilang Sony di Perai yang berjaya mengurangkan sebanyak 96 peratus sisa yang dihasilkan oleh mereka daripada dihantar ke Pulau Burung.

“Kejayaan tersebut membuktikan program seumpama ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk menjadikan pengasingan sisa di punca sebagai satu amalan harian, bermula daripada tempat kerja sehingga institusi kekeluargaan,” ujar Maimunah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pengurusan Sisa Sifar di Taman Vila Oren di sini baru-baru ini.

Katanya, insiatif yang dilakukan oleh persatuan komuniti di sini bukan sahaja sahaja akan menjimatkan sumber dana MPSP, malah sekaligus memanjangkan jangka hayat pusat pelupusan sampah tersebut.

“Program ini merupakan satu elemen yang penting kerana dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah sedia ada di Pulau Burung ekoran penghasilan sampah yang semakin berkurangan.

“Oleh itu, jalinan kerjasama ini amat dialu-alukan kerana dapat memupuk satu ikatan ke arah mewujudkan peri pentingnya kita mengurangkan penghasilan sisa pepejal atau sampah sarap,” jelas beliau.

Hadir sama, Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

Difahamkan, daripada 113 unit kediaman di Taman Vila Oren, 50 buah telahpun didiami.

Pada majlis tersebut, MPSP mengedarkan 50 buah tong 5 liter kepada tiap-tiap penghuni setempat untuk tujuan amlaan kitar semula sisa organik atau proses pengkomposan.

Tahun lalu, direkodkan, sisa pepejal yang dikumpulkan di pusat pelupusan sampah dekat Pulau Burung seberat 440,460 tan.

Manakala, tipping fee atau caj yang dikenakan atas kuantiti tertentu sisa yang diterima di tapak pelupusan sampah itu sebanyak RM8.89, dibayar oleh MPSP.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus