KETUA Menteri semasa memberikan maklum balas mengeai isu TMP yang dibangkitkan oleh orang awam di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
SEBERANG PERAI - Demi
kepentingan nasional, Kerajaan Pusat diharap meluluskan permohonan
Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan (TMP)
bernilai kira-kira RM27 bilion di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan
Lim Guan Eng berkata demikian pelan menangani masalah kesesakan
trafik serta meningkatkan mutu pengangkutan awam secara bersepadu itu
akan dilaksanakan mulai tahun 2017 hingga 2030, serta memberi manfaat
kepada rakyat Malaysia di negeri ini sehingga tahun 2050.
"TMP dibiayai 100
peratus oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat satu sen pun tak
keluar (peruntukan).
"Sungguhpun dibiayai
oleh Kerajaan Negeri melalui hasil tambak laut di Selatan (bahagian)
Pulau, tetapi, kerana di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, kita
mesti dapat kelulusan mereka (Kerajaan Pusat).
"Kita (Kerajaan Negeri)
harap, demi kepentingan rakyat dan nasional, walaupun Kerajaan Pusat
tidak perlu keluarkan wang (peruntukan), mereka boleh berikan
kelulusan," jelas Guan Eng.
Exco Hal Ehwal Tanah &
Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan
Hal Ehwal Bukan Islam berkenaan berkata demikian pada Majlis
Penerangan Awam Mengenai TMP Kepada JKKK dan Warga Seberang Perai di
Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda.
Exco Kerajaan Tempatan,
Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Yang
di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah
Mohd Sharif serta Pegawai Komunikasi Korporat Konsortium SRS selaku
rakan pelaksana projek (PDP) turut tampil sebagai panel dalam forum
dua hala itu.
Hampir semua Exco dan Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan menyertai majlis
rundingan awam itu.
Selain mengadakan rundingan
awam, difahamkan, Kerajaan Negeri melalui PDP mesti mendapatkan
kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak
Alam (DEIA) serta kelulusan berwajib yang lain daripada agensi
Persekutuan, sebelum memulakan kerja-kerja penambakan di kawasan
tersebut.
Ini kerana, berdasarkan
undang-undang, difahamkan, Kerajaan Negeri mesti mendapatkan
kelulusan Kerajaan Pusat melalui Majlis Perancangan Fizikal Negara
(MPFN), jika projek tambak laut melebihi 100 hektar atau melibatkan
10,000 orang di negeri ini.
Selain itu, Guan Eng
memberitahu, Kerajaan Pusat sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi
Perdana Menteri lagi pernah berjanji untuk membina jajaran transit
aliran ringan (LRT) di bahagian Pulau, namun sehingga kini didakwa
seperti "bertanam tebu di bibir".
Katanya lagi, di bawah
pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pun,
janji untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik dan monorel
menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu masih belum ditunaikan
sehingga sekarang.
Dalam perkembangan
berasingan, ADUN Batu Maung, Dato' Abdul Malik Abul Kassim turut
mengadakan majlis penerangan sama dengan semua anggota Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) berwajib, serta lebih 120
nelayan pantai yang terbabit dengan cadangan projek tebus guna tanah
di Batu Maung.
TMP terdiri oleh cadangan
pemajuan beberapa jajaran LRT, monorel di bahagian Pulau dan Seberang
Perai, beberapa batang lebuh raya di bahagian Pulau, terowong bawah
dasar laut dari bahagian Pulau
merentasi Seberang Perai, sistem bas aliran cepat (BRT) di Seberang
Perai dan sebagainya.
Pemajuan
jajaran LRT dari Komtar ke Bayan Lepas serta Pan Island
dari Pulau merentasi laut ke
Seberang Perai merupakan antara cadangan projek yang diutamakan oleh
Kerajaan Negeri, jika permohonan tebus guna tanah berwajib diluluskan
oleh Kerajaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment