13 January 2016

Belumpun TPPA dimeterai, tiada RM2 subsidi beras runsingkan pembekal Melayu?

Gambar hiasan. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

TASEK GELUGOR - Ura-ura subsidi beras kategori SST 5 peratus hancur tidak lagi diberikan kepada pembekal beras kecil-kecilan Bumiputera di Pulau Pinang,  sungguhpun Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) masih belum dimeterai sepenuhnya oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber, yang mahu dikenali sebagai "Lan Beliak" memberitahu, beliau sendiri runsing dengan isu berbangkit ini. 

"Sungguhpun harga pasaran masih dalam RM26 untuk beras kategori ini, harga kilang dinaikkan daripada RM21 (RM21.70) kepada RM23 kepada pembekal Melayu macam kami.

"Ertinya, tiada lagi subsidi kira-kira RM2 untuk tiap-tiap kampit beras 10 kilogram SST 5 peratus ini," jelas sumber.

Seorang lagi pembekal beras Bumiputera memberitahu pihaknya sendiri tidak pasti sama ada kenaikan harga borong ini berpunca oleh spekulasi pengilang padi atau subsidi berwajib benar-benar ditarik balik oleh Kerajaan Pusat.

"Saya tidak pasti, tetapi dengan keadaan kos operasi yang makin banyak, untung kasar yang lebih kecil memang dirasai.

"Seperti saya yang mengedar lebih kurang 10,000 beg (kampit beras), ertinya untung kasar (bulanan) saya berkurang RM20,000, jika purata (tanpa subsidi) RM2 ini," jelas sumber, peranakan Kelantan tetapi lama bermastautin di Tanjung.

Berkali-kali dilaporkan, Kerajaan Pusat memberitahu bahawa  TPPA tidak akan menjejaskan Dasar Padi & Beras Negara.

Menerusi TPPA, Datuk Mustafa Mohamad sendiri dilaporkan berdalih bahawa negara yang menyertainya diminta untuk memansuhkan duti import ke atas beras ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut berdalih, syarat yang dikenakan ke atas negara anggota TPPA sama sekali tidak menjejaskan Malaysia, berikutan negara ini sememangnya tidak mengamalkan duti import ke atas beras dari luar.

“Dalam TPPA, mereka nak kita mansuhkan duti import pada beras. Kita rasa ia tidak menjadi masalah berikutan mereka minta suatu perkara yang memang sudah kita buat.

“Ini kerana di negara ini, tiada sebarang duti import dikenakan apabila BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) membeli beras," katanya ketika Majlis Taklimat TPPA di Wisma Darul Aman, lapor Harian Metro.

Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim yang ditemui kemudian memberitahu bahawa Kerajaan Pusat sendiri perlu menjernihkan isu berbangkit tersebut.

"Tidak mungkin TPPA punca subsidi beras RM2 yang selama ini dinikmati oleh pembekal ditarik balik oleh Kerajaan Pusat kerana perjanjian antarabangsa itu masih dirahsiakan serta belum dimuktamadkan lagI. 

"Khabarnya (Perdana Menteri Malaysia memeterai TPPA) bulan Februari ini di New Zealand.

"Mungkin ya (tiada subsidi RM2), mungkin tidak kerana Najib sendiri ada menyatakan hasrat untuk semak semula Bajet 2016 yang telahpun diluluskan hujung tahun lalu (2015)...dia boleh jelaskan isu ini," jelas Zolkifly yang juga Ketua Kawasan AMANAH Parlimen Balik Pulau.

Zolkifly yang juga Pengasas NGO Muslim Economy Culture Affair (MECA) turut menyanggah dalih Mustafa, kononnya TPPA tidak menjejaskan kepenggunaan beras negara.

"Import beras dari Amerika Syarikat memanglah 0.23 peratus pada tahun 2013 dan 0.05 peratus pada tahun 2014, secara angkanya.

"Tanpa duti import pun, harga beras dari Amerika Syarikat RM9 hingga RM12 sekilogram, berbanding beras tempatan RM3 hingga RM4.

"Tetapi, perlu diingatkan Amerika Syarikat tidak mempunyai masalah daripada segi kewangan untuk membekalkan beras dengan harga yang lebih murah (serta) dalam kuantiti yang lebih besar dari itu, kerana TPPA seakan 'lesen masuk' ke Malaysia.

"Lagipun pentadbiran Najib yang mengamalkan rasionalisasi subsidi, sebenarnya usaha menghapuskan subsidi, tidak mungkin sanggup memperuntukkan subsidi yang lebih besar, untuk menghadapi lambakan beras import nanti," jelasnya lagi.

Memetik sumber, Najib berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key semasa mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 di sini.

Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama yang dilihat 'berdiam diri' dalam banyak skandal kewangan membabitkan pentadbiran Najib akan menjadi hos majlis tandatangan perjanjian itu.

Dikatakan, negara-negara yang terlibat TPP menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia dan ketiga kepada perdagangan global, dan Malaysia adalah antara yang terkecil mempunyai lebihan dagangan.

Manakala, APEC terdiri daripada 21 anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Daripada 21 negara itu, 12 negara terlibat dengan TPP. Anggota APEC yang tidak terlibat dengan TPP ialah China, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Papua New Guinea, Filipina, Rusia, Taiwan dan Thailand.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus