13 January 2016

Anak pokok tin gamit pengunjung ke Ekspo Usahawan Desa Orkid dan Flora

PENGGEMAR orkid sedang memilih pokok di salah sebuah gerai jualan di sini baru-baru ini.  | Gambar: Internet.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

MACHANG BUBUK - Anak pokok tin antara ribuan spesis tumbuhan yang dijual di Ekspo Usahawan Desa Orkid dan Flora 2015 di hadapan pasar raya Tesco Alma di sini baru-baru ini. 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata beliau sendiri tidak sangka bahawa pokok tin yang turut disebut dalam Al-Quran rupa-rupanya begitu menggamit perhatian pengunjung ke karnival itu.

"Buah tin mungkin kita pernah makan sama ada semasa ia dibawa pulang ke tanah air, atau semasa kita mengerjakan haji.

"Tetapi, pokok tin mungkin jarang kita dapat lihat, walaupun kita yang melazimi bacaan Al-Quran seringkali bertemu dengan Surah At-Tin," jelas Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

Beliau yang juga ADUN Pantai Jerejak turut menjelaskan  mengenai falsafah Al-Quran menyebut mengenai buah tin dan zaitun, serta hubungan antara Bukit Tursina dan Makkah yang menjadi tempat hidupnya kedua-dua pokok itu.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk dalam ucapannya merakamkan penghargaan kerana diberi peluang terlibat dalam penganjuran karnival tersebut.

"Tidak lupa juga kepada pihak MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) dan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah yang banyak membantu kami mengadakan ekspo ini,” katanya.

Difahamkan, karnival yang  berlangsung selama hampir 14 hari sehingga 31 Disember 2015 itu adalah anjuran MMK Keusahawanan, langsung di bawah Pejabat Timbalan Ketua Menteri sendiri.

Selain bunga orkid dan anak pokok tin, buah-buahan segar, pameran ular serta pakaian turut dijual di sini.

Pemilik gerai buah-buahan, Azizi Ismail memberitahu kebanyakan orang percaya bahawa pokok tin sukar ditanam, namun hakikatnya ia mempunyai kaedah tersendiri dari segi penjagaannya.

“Memang kalau nak diikutkan cara penjagaannya berbeza daripada tanaman lain, tapi bila kena dengan caranya Insya-Allah ia akan berhasil,” katanya.

Katanya lagi, anak pokok Tin boleh dijual dengan harga  antara RM100 hingga RM150 sepokok, tetapi boleh dibeli dengan harga yang lebih murah di karnival tersebut.

Tin juga dikenali sebagai Ara atau nama saintifiknya, 'Ficus carica L'.

Tin  adalah sejenis tumbuhan penghasil buah-buahan yang dapat dimakan, berasal dari Asia Barat, dengan buahnya bernama sama.

Nama "Tin" diambil daripada bahasa Arab.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus