26 January 2016

5,000 buku berjaya dikumpul, ADUN Jawi buka Suduh Ilmu ke-2

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) diiringi Soon Lip Chee (paling kiri) dan Maimunah Mohd. Sharif (tiga dari kiri) serta seorang anggota JKKK setempat menantuni salah seorang kanak-kanak di pusat sumber Sudut Ilmu Bukit Panchor di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Lebih 5,000 buku dikumpulkan untuk mewujudkan Sudut Ilmu serta memberi manfaat kepada komuniti setempat, kata Soon Lip Chee yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

"Sejak menjadi Ahli Majlis MPSP pada tahun 2009 lagi, saya dengan dibantu rakan-rakan mengumpulkan buku, sehingga kini lebih 5,000 buah dikumpulkan dari seluruh negara.

"Sudut Ilmu Bukit Panchor ini adalah yang kedua di KADUN Jawi, yang pertama di (dewan) JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Taman Bestari," jelas Lip Chee kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut berucap serta menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Sudut Ilmu Bukit Panchor tersebut.

Turut berucap, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif.

Kon Yeow dalam ucapannya memberitahu, masih terdapat banyak dewan orang ramai yang tidak dimanfaatkan semaksimum mungkin di bahagian Seberang Perai, sebagaimana yang dilakukan oleh pasukan Soon Lip Chee.

"Kita (Kerajaan Negeri) berharap JKKK mempunyai perancangan untuk memohon dewan yang masih belum digunakan untuk aktiviti komuniti di kawasan masing-masing, selepas ini," jelas Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

Sebelum itu, Maimunah mendedahkan, di Seberang Perai terdapat 224 buah dewan dan 54 daripadanya tidak digunakan atau diurus oleh mana-mana pihak berwajib termasuk JKKK.

Daripada 58 buah dewan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), katanya, terdapat 13 dewan tidak digunakan.

Di Daerah Seberang Perai Tengah pula, katanya lagi, terdapat 102 dewan dan 25 daripadanya tidak digunakan.

"Di SPS (Seberang Perai Selatan), ada lebih 64 dewan dan 16 daripadanya masih belum digunakan oleh mana-mana pihak.

"Jadi, kita di MPSP sangat menggalakkan mana-mana sahaja pertubuhan berdaftar agar memohon untuk mengurus dan menggunakan dewan-dewan ini, dengan keutamaan diberikan kepada JKKK berwajib," jelas Maimunah.

Tambah beliau, pihak yang berminat untuk membuat permohonan dewan-dewan tersebut hanya perlu mengemukakan sijil pendaftaran pertubuhan, senarai ahli jawatankuasa (AJK) pertubuhan dan rancangan aktiviti tahunan, untuk dipertimbangkan oleh MPSP.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus