09 December 2015

Tuntutan ganti rugi sembilan penduduk berjaya selepas campurtangan dua wakil rakyat DAP P.Pinang

STEVEN Sim Chee Keong (paling kiri) dan Chong Eng (dua dari kiri) bersama-sama menyaksikan Wan Ishak Soed (dua dari kanan) menyerahkan cek tuntutan ganti rugi kepada salah seorang penduduk yang terbabit pada suatu majlis di sini baru-baru ini.

PADANG LALANG - Sembilan penghuni rumah di Lorong Binjai 7 dekat Taman Sri Rambai di sini akhirnya berjaya mendapat tuntutan ganti rugi masing-masing daripada pihak berwajib, selepas campurtangan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Steven Sim memberitahu, mereka mendapat pampasan berwajib daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) disebabkan suatu kejadian voltan elektrik berlebihan berlaku di sini, 20 Mei lalu.

Jelasnya, kabel neutral di sini terputus akibat dilanggar oleh lori, sehingga mengakibatkan kerosakan pada peralatan elektrik mereka yang terbabit.

“Setelah aduan dibuat kepada TNB, mereka pada mulanya memberitahu tidak akan bertanggungjawab kerana ia adalah di luar bidang kuasa mereka dan disebabkan kemalangan oleh pihak luar.

“Namun setelah isu ini dibangkitkan di dalam Mesyuarat Tindakan Kerja Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), mengutuskan surat kepada TNB dan berjumpa dengan pengurus kawasan serta pengurus besar, akhirnya tuntutan pampasan berjaya diselesaikan,” ujar beliau kepada wartawan.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng dan Pengurus Kawasan TNB Seberang Jaya, Ir. Wan Ishak Soed turut hadir pada majlis pertemuan itu.

Wan Ishak dalam kenyataannya memuji inisiatif Steven Sim dan Chong Eng kerana membantu TNB melihat beberapa perkara yang diakui terlepas pandang sehingga beberapa pihak terbabit berjaya mendapat pampasan berwajib.

“Pada mulanya siasatan mendapati punca voltan elektrik berlebihan berlaku disebabkan kemalangan oleh pihak luar dan bukan oleh pihak TNB.

“Namun, setelah penelitian terhadap bukti-bukti yang dikumpulkan oleh pihak Ahli Parlimen dan ADUN, kita dapati kabel tersebut dilanggar oleh lori kerana tiang kabel itu condong dan penduduk yang terbabit berhak mendapatkan pampasan,” jelas beliau.

Pada pertemuan itu, TNB membayar sejumlah RM6,297.46 pampasan atas kesemua tuntutan pembaikan yang dibuat, setelah ditolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST), caj servis dan susut nilai bagi barangan yang dibeli baru.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus