23 December 2015

GERAKAN Pulau Pinang, lulus projek tambak laut di Bayan Bay patut dalam Mesyuarat Exco atau DUN?


22 Disember 2015
Seberang Jaya, Pulau Pinang

Paling saya bimbang adalah pemimpin Gerakan Pulau Pinang keliru dan jahil - kelulusan projek tambak laut di Bayan Bay ini sepatutnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri atau DUN?

Umumnya, apabila belanjawan membabitkan perbendaharaan Kerajaan Negeri, tidak dapat tidak mestilah diluluskan dalam DUN Pulau Pinang.

Sebab itu, Bajet 2016 Kerajaan Pulau Pinang mesti diluluskan di DUN, manakala Bajet 2016 Kerajaan Persekutuan wajib diluluskan di Parlimen.

Bagi projek pembangunan yang tidak melibatkan dana awam pula, memadai dengan kelulusan Kerajaan Negeri.

Maka, projek tambak laut seluas 24.76 ekar di Bayan Bay memadai dengan kelulusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sahaja.

Begitu juga cadangan menaikkan kadar tol, memadai diluluskan dalam Mesyuarat Kabinet Kerajaan Pusat.

Hakikatnya, projek tebus guna tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri hari ini seluas 60 ekar sahaja, berbanding 3,241 ekar yang diluluskan oleh pemimpin Barisan Nasional sebelum tahun 2008.

Jika tambak laut yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri melebihi 100 hektar (247.1 ekar) sekalipun, tidak perlu kelulusan Parlimen.

Ini kerana, sesebuah Kerajaan Negeri mesti mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sahaja, jika projek tambak laut melebihi 100 hektar atau melibatkan 10,000 orang di negeri ini, jika dirujuk pada Perlembagaan Persekutuan.

Dilaporkan, pemimpin tertentu Gerakan Pulau Pinang antara lain menuduh kerja-kerja tambak laut di Bayan Bay dilakukan secara 'sembunyi-sembunyi' sejak Mei lalu.

Barangkali tuduhan mereka ini kerana projek tebus guna terbabit diumumkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng di DUN pada 6 November lalu. 

Memang Kerajaan Negeri telahpun meluluskan projek tambakan laut seluas  24.79 ekar kepada pemaju Ideal Gim Ventures Sdn. Bhd., dan perkara yang diumumkan oleh Guan Eng di DUN Pulau Pinang itu hanya projek yang  telahpun diluluskan dalam Mesyuarat Exco sahaja.

Lebih jelas, Guan Eng dalam kenyataannya pada 21 Disember turut mengaku bahawa projek itu diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada 20 April lalu lagi.

Pemaju, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar & Desa (JPBD), Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri sendiri masing-masing telahpun menandatangani perjanjian berwajib mengenai projek yang telahpun diluluskan itu.

Manakala, proses dokumentasi sahaja disempurnakan pada 7 Oktober lalu.

Gambarannya, Guan Eng mengumumkan projek itu di DUN Pulau Pinang, selepas mendapatkan kelulusan berwajib dalam Mesyuarat Exco, lalu ditandatangani oleh empat  pihak berwajib, hingga proses dokumentasi diselesaikan.

Pembangkang, khususnya pemimpin Gerakan Pulau Pinang terbabit sepatutnya tidak mengfitnah Kerajaan Pakatan Harapan Negeri.

Jelasnya, projek itu diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada 20 April lalu dan dibentangkan di DUN Pulau Pinang selepas itu, iaitu pada 6 November lalu. 

Mengfitnah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hanya menyerlahkan kejahilan atau kekeliruan pemimpin Gerakan berkenaan sahaja.

Aneh, sebuah parti yang mempunyai begitu banyak pengalaman mentadbir Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini dan masih menjadi sebahagian daripada entiti Kerajaan Persekutuan sekarang, seakan masih jahil atau keliru dalam hal pentadbiran seasas isu tebus guna di Bayan Bay ini. 

Sekian.

ZAINULFAQAR YAACOB
Pengarah Komunikasi
AMANAH Pulau Pinang 

+60194241583
zainulfaqary@gmail.com 
faqar.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus