(Dari kiri) ANG Aing Thye, Patahiyah Ismail, Chow Kon Yeow, Lim Guan Eng, Lim Hock Seng dan Wong Hon Wai pada sidang media di sini, pagi tadi. | Foto: Buletin Mutiara |
Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
GEORGE TOWN -
Tempoh masa untuk kerja-kerja pembinaan rentang tuju istimewa
(special span) bagi projek menaiktaraf Lebuhraya Bayan Lepas
(BLE) dari Batu Maung ke Queensbay, Sungai Nibong akan ditambah menjadi 102
jam seminggu, mulai Isnin ini.
Ketua Menteri, Y.A.B.
Tuan Lim Guan Eng berharap, projek Kerajaan Pusat itu dapat disiapkan
sepenuhnya mengikut jadual pada bulan Jun tahun depan, tanpa
kesesakan trafik yang teruk serta sebarang kemalangan jiwa.
“(Kerja-kerja pemajuan)
akan dilaksanakan setiap hari, tetapi mengikut masa yang ditetapkan.
“Waktu puncak (sebelum
jam 9.00) pagi tiada masalah (trafik) kerana jalan-jalan ini masih
dibuka, tetapi, pada waktu lain, kita (Kerajaan Negeri) berharap
semua pengguna boleh ambil perhatian.
“(Pemaju) mesti
fleksibal dan ada budi bicara supaya tidak lagi berlaku kesesakan
(trafik), kalau tidak mesti terima arahan (penangguhan kerja-kerja)
daripada saya lagi,” tegas Guan Eng di sini, pagi tadi.
Exco Kerajaan Tempatan,
Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock
Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Patahiyah
Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Ir. Ang
Aing Thye (Setiausaha Majlis MBPP) turut hadir pada sidang media
tersebut.
Hadir sama, Ketua
Penolong Pengarah Kanan Unit Projek Khas Zon Utara bagi Jabatan Kerja
Raya (JKR), Mohd. Yusup Zahidin dan Ir. Ismade Ismail (Pengurus
Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.).
Menurut Guan Eng,
ketetapan terbaru mengenai projek Kerajaan Pusat itu diputuskan
selepas mempertimbang syor Panel Jurutera Pakar Bebas yang dilantik
oleh Kerajaan Negeri dan cadangan-cadangan daripada Persatuan
Syarikat Perindustrian Bebas (Frepenca) serta mengambil kira
kepentingan penduduk secara amnya.
Guan Eng memberitahu,
jalan-jalan berwajib akan ditutup dari 9.00 malam hingga 5.00 pagi
serta dari 10.00 pagi hingga 4.30 petang pada tiap-tiap hari hari
bekerja, Isnin hingga Jumaat.
Manakala pada hari Jumaat
hingga awal pagi Isnin, Guan Eng memberitahu, jalan-jalan sama turut
akan ditutup mulai jam 9.00 pagi hingga 5,30 pagi.
“Namun, tiada penutupan
jalan dari 10.00 pagi hingga 4.30 petang pada Hari Jumaat sahaja
kerana kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu kesesakan trafik semasa
orang Islam pergi sembahyang Jumaat,” jelas Guan Eng lagi.
Terdahulu, kegagalan JKR
serta UEM melaksanakan pelan penutupan jalan secara berjadual demi
membolehkan kerja-kerja pemasangan tiga bahagian special span
lebuh raya bertingkat yang merintangi Sungai Keluang dekat Bayan Baru
pada 17 Ogos lalu mengakibatkan kesesakan trafik, hatta, menggamit
amarah rakyat serta rasa tidak puas hati Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri
mengarahkan pembukaan semula jalan-jalan berwajib dengan kerja-kerja
di tapak pemajuan dihentikan serta-merta, untuk penilaian lanjut oleh
Panel Jurutera Perunding Bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri.
Tegas Guan Eng, Kerajaan
Negeri berharap insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan
Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan
raya tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi
sepanjang tempoh pemajuan projek Kerajaan Pusat ini.
Panjang lebuh raya yang
akan dinaiktarafkan tersebut adalah 4.4 kilometer.
Difahamkan, tiga bahagian
rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah
terpanjang di Malaysia, dengan ketinggian 390 meter, sepanjang 170
meter, selebar 18 meter, serta berat keseluruhannya 14,000 tan atau
6,400 berat berat minimum satu-satu bahagian konkrit tersebut.
Kerja-kerja pemajuan
projek pula menelan belanja RM337 juta, secara rasminya bermula pada
1 April 2014 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan pada tarikh 31
Mac 2016.
No comments:
Post a Comment