SOHIBUS Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor. |
KEBENARAN menggunakan pembesar suara
untuk tujuan azan dan iqamah sahaja di Pulau Pinang mengundang
pelbagai reaksi.
Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri
Pulau Pinang yang terbabit dalam isu berbangkit tersebut turut
digambarkan tunduk pada kemahuan politik Kerajaan Negeri.
Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Sohibus Dato' Dr.
Wan Salim Wan Mohd. Noor semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru
ini ada menjelaskan mengenai gambaran sebenar mengenai satu-satu
fatwa itu dikeluarkan.
“Satu-satu fatwa ini dihasilkan oleh
sebuah Jawatankuasa Fatwa, yang keanggotaannya terdiri oleh mereka
yang kita anggap sebagai pakar dalam bidang masing-masing.
“Sebenarnya kita (Jawatankuasa Fatwa)
memang diberikan kebebasan untuk berbincang mengenai satu-satu
perkara baharu membabitkan umat Islam.
“Dalam isu azan ini, Ketua Menteri
(Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) sendiri pun baru tahu sahaja, itupun
melalui akhbar sahaja, sama seperti Exco Hal Ehwal Agama Islam (Dato'
Abdul Malik Abul Kassim).
“Ini, menunjukkan bahawa perkara
ini adalah tidak ada kena-mngena dengan mana-mana ahli politik,
kerana Majlis Fatwa mempunyai kebebasan tersendiri untuk memberikan
penjelasan mengenai satu-satu perkara, di bawah perkenan Duli Yang
Maha Mulia Yang Dipertua Agong,” jelas Wan Salim semasa ditemubual
di Pejabat Mufti Negeri dekat Komtar baru-baru ini.
Fatwa Ikut
Syariat
Wan Salim
memberitahu, Rasulullah S.A.W pernah melarang seorang sahabat
yang sedang membaca Al-Quran dengan meninggikan suaranya sampai
mengganggu orang lain. (hadith sahih riwayat Abu Daud)
Katanya lagi,
apabila Al-Quran dibaca, hendaklah didengar atau diam untuk mendapat
Rahmat Allah S.W.T.. (rujuk Surah Al-Aa'raf: 204)
“Fatwa mesti ikut
syariat, bukan ikut orang politik, dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
bahas isu berbangkit ini kerana ada aduan.
“Selain melihat
dari aspek fiqh, Majlis Fatwa akan meneliti aduan-aduan daripada
banyak pihak, seperti ada orang sakit atau kanak-kanak kecil nak
tidur, ada yang nak berehat di rumah selepas penat bekerja dan
sebagainya.
“Pokoknya,
tujuan fatwa atau Irsyad Hukum ini
dikeluarkan adalah untuk memelihara imej Islam sebagai agama yang
sensitif serta menjaga kesejahteraan semua pihak, supaya tidak
terpalit dengan sikap sesetengah pihak yang tidak melihat semua yang
disebutkan ini,” tegas Wan Salim lagi.
Agenda umat
WAN Salim
memberitahu bahawa ketiadaan agenda umat yang besar merupakan salah
satu faktor penyumbang pada umat Islam terus saling prasangka sesama
sendiri.
“Pertama, kita
tak perlu melenting atau melatah dengan fatwa-fatwa seumpama ini,
kerana isu azan dan iqamah ini adalah syiar dan juzuk yang kecil
daripad juzuk-juzuk Islam yang lebih luas.
“Sepatutnya umat
Islam perlu sensitif dengan perkara-perkara yang lebih besar, seperti
agenda memartabatkan ekonomi umat Islam, menyemarak integriti dalam
diri, kerana banyak pemimpin Islam dikaitkan dengan unsur rasuah dan
penyelewengan kuasa.
“Umat Islam ini adalah umat yang besar, kalau nak dinisbahkan kepada kaum Melayu
pun, masih besar.
“Umat yang besar
wajar memikirkan agenda-agenda yang besar, antaranya agenda dakwah
dari satu rumah ke satu rumah untuk mengajak memakmurkan Rumah Allah
(masjid).
“Syiar atau
syariat Islam yang mana mampu didahulukan untuk kita buat, kita buat
tanpa perlu diheboh-hebohkan.
“Dan yang mana
mampu dilaksanakan secara beransur-ansur, maka, dilaksanakan secara
sabar dan berterusan.
“Macam syariat
membaca Al-Quran, jangan terlalu kuat sampai mengganggu orang lain
yang sedang mendirikan solat umpamanya, lazimi membaca Al-Quran
secara belajar dan menghayati maksudnya.
“Jangan kita
malas membaca Al-Quran serta menghayati isi kandungnya, sehinggakan
kita membuka kaset bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara secara
terlalu kuat sampai mengganggu privisi orang lain, sedangkan ada
syariat menyuruh kita membaca Al-Quran dengan nada yang rendah atau
diam mendengar kalam suci Allah,” jelas beliau lagi.
Takfiri dan
budaya pelampau
Selain
itu, Wan Salim turut menasihatkan semua pihak supaya menjauhkan
institusi masjid daripada budaya takfiri atau
saling mengkafir disebabkan faham melampau dalam kalangan umat Islam
sendiri.
“Sepatutnya konsep 'Islam Rahmat Ke
Seluruh Alam' ini mesti sampai dihidupkan dalam masjid, jangan
berlegar di Komtar sahaja kerana itu tema tema Maal Hijrah 1437H.
“Ustaz dan ustazah serta para Alim
Ulamak perlu memainkan peranan ini, bagaimana umat manusia boleh
dekat dengan masjid dengan konsep Islam Rahmatan Lil 'Alamin ini.
“Mimbar masjid janganlah dijadikan
medan untuk menyebarkan politik kebencian sesama umat Islam.
“Jangan ucapan-ucapan kita yang tidak enak
atau tidak ilmiah atau melampaui batas di mimbar-mimbar masjid ini
pula membawa keburukkan pada imej Islam sebagai agama rahmat untuk
semua manusia,” jelas beliau lagi.
“Apa guna kita
membuli mana-mana golongan yang lemah walaupun atas nama agama,
tetapi akhirnya orang Islam sendiri akan takut dengan budaya
pelampau kita.
“Sesungguhnya
'Islam Rahmat Ke Seluruh Alam' yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W
bukan menakut-nakutkan masyarakat di sekelilingnya, tetapi disegani
oleh bukan Islam.
“Orang awam akan
tertarik atau mungkin peluk Islam apabila akhlak Rasulullah S.A.W
disegani oleh mereka.
Harapan
Wan Salim berkata,
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal
Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) hatta Jabatan Mufti sendiri
melakukan sesuatu yang lebih baik ke arah memartabatkan Islam dan
umat di negeri ini, dan, di sinilah Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Pulau
Pinang harus memainkan aspek dengan menilai semua segi secara bebas
dan adil.
“Kadang-kadang Jabatan Mufti Negeri
Pulau Pinang dan JHEAIPP sendiri menjadi serba-salah untuk mencegah
sesetengah penceramah yang buruk perkataannya di atas masjid, kerana
kita mahu masjid menjadi medan ilmu dan medan untuk umat Islam
berbeza pendapat.
“Apabila ada ustaz tertentu
menyemarakkan faham takfiri
(mengkafirkan) ke atas satu-satu pihak secara sentimen politik, elok
ada suatu garis panduan untuk memelihara imej Islam dan institusi
masjid ini sendiri.
“Keghairahan umat
Islam tanpa dipandu oleh ilmu akhirnya melahirkan budaya pembodohan
atau melampau, hingga memburukkan imej Islam sebagai agama yang adil
untuk orang Islam dan bukan Islam.
“Selain isu
kebenaran menggunakan pembesar suara luar masjid untuk tujuan azan
dan iqamah sahaja, masih banyak cabaran yang harus didepani oleh umat
Islam, dan di sini lah peranan Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri
Pulau Pinang, iaitu memberi pendapat demi kesejahteraan umat,”
jelas Wan Salim.
No comments:
Post a Comment