09 October 2015

1MDB: Tahan Matthias Chang bawah SOSMA mengejutkan Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut dengan penangkapan Matthias Chang, peguam kepada bekas naib ketua pemuda Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma) 2012 pada Khamis lalu.

“Kami terkejut dengan penangkapan peguam Matthias Chang di bawah SOSMA hanya kerana beliau bertugas sebagai peguam untuk Khairuddin yang membongkarkan skandal 1MDB (1Malaysian Development Berhad).

“Ini bukan sahaja tindakan yang menghina kedaulatan undang-undang, tetapi mempersoalkan niat serta tujuan Kerajaan Persekutuan menggunakan ancaman sedemikian (SOSMA) ke atas semua yang cuba membawa isu 1MDB,” respons Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kepada wartawan di sini.

Tambah Guan Eng, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri melahirkan rasa bimbang Malaysia menjadi “negara polis” dan kebimbangan bekas Perdana Menteri itu seakan berasas susulan penangkapan Matthias Chang.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng berkata, Pejabat Peguam Negara mengumumkan tiada kes untuk disiasat berhubung 1MDB berkemungkinan untuk menutup bukti-bukti pendedahan yang sedia ada sahaja.

“Kedudukan Peguam Negeri sendiri begitu dipolitikkan sekarang, persoalannya adakah (pengumuman Pejabat Peguam Negara) itu adalah kenyataan yang bebas berdasarkan kedaulatan undang-undang dan bukti-bukti sebenar,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Lagi pun katanya, Majlis Raja-Raja Melayu sendiri dalam satu kenyataan baru-baru ini mahu Kerajaan Pusat siasatan kes 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

Terdahulu, Peguam Chang, Fahmi Moin berkata bahawa anak guamnya ditahan ketika beliau melawat Khairuddin pada pukul 2.00 petang, Khamis.

"Siasatan dibuat di bawah Seksyen 124 (K) dan 124 (L) Kanun Keseksaan. Dia kini ditahan selama 24 jam di bawah Sosma

"Selepas itu, ia bergantung kepada pihak polis sama ada mahu melepaskan atau menahannya lagi sehingga 28 hari, '' kata Fahmi, dipetik dari satu portal berita arus perdana.

Seksyen 124 digunakan atas kesalahan yang dianggap menjejaskan demokrasi berparlimen.

Penangkapan Chang dibuat selepas penahanan Khairuddin, juga di bawah Sosma selepas beliau membuat beberapa laporan di luar negara, termasuk Singapura, Switzerland, Perancis dan Hong Kong, terhadap 1MDB.

Khairuddin pertama kali membuat laporan polis terhadap 1MDB pada 12 Disember tahun lalu berikutan laporan dalam media tempatan dan antarabangsa menunjukkan kelemahan dalam pengurusan syarikat itu.


No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus