23 September 2015

P.Pinang kini 'Kerajaan Negeri Pakatan Harapan', umum Guan Eng



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pentadbiran Pulau Pinang kini digelarkan sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, selepas suatu keputusan sebulat suara diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada pagi tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa membuat pengumuman itu, turut mengalu-alukan penyertaan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam pakatan politik di bawah Kerajaan Negeri bersama-sama DAP dan PKR.

“Pihak Kerajaan Negeri mengalu-alukan penubuhan Pakatan Harapan dan pagi ini mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah sebulat suara membuat keputusan Kerajaan Negeri sekarang digelarkan sebagai 'Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang'.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengalu-alukan Parti Amanah Negara sebagai ahli kerajaan rasmi.

“Kita akan mengalu-alukan sokongan daripada mana-mana rakyat Pulau Pinang yang bersedia menyokong dan bersama dengan kerajaan berjiwa rakyat,” jelas Guan Eng di sini pada pagi tadi.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut menjelaskan mengenai status wakil PAS, Dato' Mohd. Salleh Man yang masih menyandang jawatan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), sungguhpun belum menyertai AMANAH.

“Mungkin dari segi namanya PAS, kalau hatinya bersama dengan Kerajaan Negeri 'Pakatan Harapan' Pulau Pinang, maka tiada masalah,” jelas Guan Eng menjawab soalan wartawan.

Tambah Guan Eng, pakatan pembangkang yang baru ditubuhkan akan lebih kukuh berbanding Pakatan Rakyat dulu

Mewakili PKR, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon turut menyatakan sokongan pada pengumumam yang dibuat oleh Guan Eng itu.

Sebelum itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam kenyataannya berkata, AMANAH akan menyokong penuh tadbir urus Kerajaan Negeri selagimana berdasarkan nilai integriti, seperti Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

“Kalau ada perkara yang tidak kena, kita (AMANAH) akan tegur melalui saluran perbincangan, dialog, dan apa-apa saluran dalam bentuk demokrasi.

“Inilah harapan kami agar Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dapat terus cemerlang,” jelas Mohamad.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tabatan Banjir), Jagdeep Sing Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Dr. Afif Bahrdin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan).

Hadir sama, Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa dan jawatankuasa utama peringkat negeri parti Islam berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus