Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
GEORGE TOWN -
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek pembangunan
bercampur di Paya Terubong yang terbengkalai sejak lebih 30 tahun
lepas akan disiapkan dalam tempoh 12 bulan, dengan keseluruhan
komponen pembangunan dijangka siap pada hujung tahun 2018.
Katanya lagi, Kerajaan
Negeri komited menyiapkan projek tersebut kerana pemaju bersetuju
dengan cadangan membina 205 unit rumah mampu milik dimasukkan sebagai
komponen pelan pembangunan yang baru dalam projek tersebut.
“Kerajaan Negeri telah
berunding semula dengan syarikat Patsifit Construction Sdn. Bhd. yang
pada asalnya telah terlibat dalam pemajuan asal projek ini dan
mempersetujui supaya satu cadangan pembangunan yang baru dibina
bersama-sama komponen pemajuan rumah mampu milik.
“Ini adalah selaras
dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan lebih banyak rumah
mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang,” ujar Guan Eng kepada
wartawan di sini baru-baru ini.
Sebelum itu, Guan Eng
yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan,
Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam
menyaksikan majlis tandatangan perjanjian persefahaman (MOU) antara
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), S.
Bharathi selaku tuan tanah dan pihak swasta, John Tan Kok Hooy
(Pengarah Patsifit Construction Sdn. Bhd.).
Hadir sama, Exco
Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim
Hock Seng (Exco kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Wong Hon Wai
(Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Air Itam) dan
Loh Aik Teong (wakil Patsifit Construction).
Dalam komponen pelan
pembangunan yang setujui bersama, difahamkan, sebuah blok bangunan
yang terdiri oleh 205 unit rumah mampu milik berkeluasan 850 kaki
persegi beserta satu tapak parkir percuma, dengan harga siling
RM280,000 seunit akan dibina di atas tanah Lot 11511.
Di atas tanah Lot 8826
pula, satu blok empat tingkat yang terdiri oleh pasar, kompleks
penjaja dan pusat komuniti akan dibina, lalu diserahkan kepada Majlis
Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan bayaran nominal RM1 sahaja.
Selain itu, dua blok
kedai pejabat dua tingkat yang terdiri oleh 60 unit keseluruhan
pemajuan berstrata turut akan dibina di atas tanah Lot 8824 dan 8825.
Justeru, Guan Eng
berkata, pemaju perlu mengemukakan semula pelan berkaitan untuk
kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam tempoh sebulan
mulai tarikh perjanjian ditandatangani, pada 7 September 2015.
“Rundingan terus telah
diadakan...ini syarikat dari Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri dengan
kerjasama MBPP akan memproses permohonan bagi projek ini secara fast
track untuk membolehkan
kelulusan diperolehi dalam tempoh tahun ini (2015),” jelas Guan Eng
yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.
Terdahulu, Kerajaan
Negeri era Barisan Nasional dulu pada 27 April 1987 memeterai
perjanjian perswastaan dengan syarikat Bina Nusa Sdn. Bhd. untuk
memajukan projek pembangunan bercampur di atas tanah Lot 8813 dan
8829, berkeluasan 41.1 ekar.
Komponen pembangunan asal
yang terdiri oleh 1,570 unit rumah kos rendah, 1,420 unit kos
sederhana rendah berjaya disiapkan dan telah diduduki.
Baki, 224 rumah kos
sederhana rendah yang lain masih belum dibina serta tertangguh,
memandangan blok perumahan tersebut di atas tanah cuma dan berbukit.
Kompleks perdagangan tiga
tingkat yang terdiri oleh 16 lot kedai, 18 flatted factories
serta pasar awam kering dan basah di bawah komponen asal projek
tersebut turut terbengkalai sehingga kini, susulan syarikat Bina Nusa
diisytiharkan muflis.
Langkah
menyiapkan projek terbengkalai selama hampir 30 tahun tersebut
sekaligus komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan lebih banyak
rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini.
No comments:
Post a Comment