KETUA Menteri (empat dari kiri) bersama-sama pemimpin utama lain menyempurnakan majlis pecah tanah Fasa Satu Projek Pembangunan Bercampur Aspen Vision City Batu Kawan di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
BUKIT TAMBUN -
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata nama baru bagi
'bandar satelit' yang merangkumi lokasi segi tiga antara Batu Kawan,
Cangkat dan Bukit Minyak akan dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri,
selepas Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melaksanakan undian
awam secara online dalam tempoh tiga bulan kelak.
“Batu Kawan di kawasan
ini bersama-sama beberapa kawasan tanah yang lain akan digabungkan
menjadi satu bandar satelit yang baru.
“Selebihnya akan
ditentukan kemudian selepas undian secara online untuk memuktamadkan
apakah nama terbaik untuk bandar satelit ini,” jelas Guan Eng pada
sidang media di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian
selepas berucap dan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Fasa Pertama
Projek Pembangunan Bercampur Aspen Vision City di Batu Kawan di sini
baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Aspen, Dato' M. Muraly turut berucap pada majlis tersebut.
Timbalan Ketua Menteri I,
Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan,
Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Jagdeep Singh Deo (Exco
Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Lim Hock Seng (Exco
Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Seri Nazir Ariff Mushir
Ariff (Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Aspen) dan Christian
Rojkjaer (Pengarah Urusan Ikano Pte. Ltd.) turut menyertai majlis
itu.
Hadir sama, Yang
di-Pertua Majlis Perbadanaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah
Mohd. Sharif dan Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC).
Guan Eng dalam ucapannya
memberitahu, kerja-kerja fasa pertama projek pembangunan bercampur
yang bernilai sekitar RM200 juta itu berkuatkuasa serta-merta,
termasuk pemajuan gedung pasaraya IKEA pertama di Utara Semenanjung
Malaysia yang dijangka siap pada tahun 2018.
Komponen pembangunan
bercampur lain antaranya, syarikat penjagaan kesihatan swasta
antarabangsa terkenal, Hospital Columbia Asia, serta sebuah sekolah
dan hotel berjenama antarabangsa.
“Aspen Vision City
dibiayai oleh OCBC Bank (M) Berhad. Kemudahan kredit setakat ini
sejumlah RM196 juta telah diluluskan.
“Kami (Kerajaan Negeri)
berharap projek ini bersama-sama dengan IKEA akan meningkatkan status
Pulau Pinang sebagai bandar antarabangsa dan pintar di rantau ini,”
ujar Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah,
Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan
Islam.
Terdahulu, Guan Eng
memberitahu bahawa Bandar Satelit Baru yang akan dimajukan di negeri
ini sepatutnya difahami seperti pembangunan Wilayah PembangunanMalaysia di Johor, yang merangkumi lokasi segi tiga di antara
Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di utara, Pelabuhan Tanjung
Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di
tenggara.
Difahamkan, Kerajaan
Negeri melalui Projek Perumahan Mampu Milik (Projek AHS), tanah
seluas 200 ekar disediakan untuk membina 11,800 unit kediaman mampu
milik berkualiti dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.
No comments:
Post a Comment