11 September 2015

Kempen MPSP berkesan, 10 lagi papan tanda 'karikator monyet' akan dipasang

P. David Marshel (kanan) dan M. Satees menunjukkan reka papan tanda baru yang menonjolkan karikator monyet sebagai ikon kempen mencegah aktiviti pembuangan sampah haram, pada sidang media di sini baru-baru ini.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel berkata, 10 lagi papan tanda kempen menyamakan mereka yang membuang sampah di merata-rata tempat dengan karikator monyet akan dipasangkan di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

“Lebih kurang 90 peratus sampah di beberapa kawasan pembuangan sampah haram nampaknya semakin berkurangan apabila papan tanda kontroversi ini dinaikkan di kawasan tersebut.

“Walaupun ada kritikan daripada orang awam dan beberapa pihak media tertentu kononnya papan tanda ini seakan menghina Orang Hutan, tetapi, akhirnya media-media tersebut menyiarkan laporan yang positif, apabila melihat keberkesanan papan tanda kempen ini.

“Kita akan memasang 10 lagi papan tanda seperti ini, dengan menukar gambar monyet kepada karikator monyet sebagaimana disyorkan oleh beberapa pihak, asalkan kempen ini terus memberi kesedaran kepada komuniti kita,” jelas David Marshel pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy di sini baru-baru ini.

SALAH satu lokasi di Seberang Jaya tidak lagi menjadi tapak pembuangan sampah haram, selepas didirikan papan tanda kreatif sebelum ini.
Menurut David Marshel, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) dan Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) masing-masing turut memberikan reaksi positif pada gaya kempen kreatif tersebut.

Katanya lagi, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam lawatan kerjanya ke Seberang Perai baru-baru ini turut memuji kaedah kempen kreatif ini, yang diusahakan melalui MPSP ini.

“Mereka (MBSJ) juga telah meminta kebenaran daripada saya untuk mendirikan papan tanda seumpama di Seberang Perai ini di kawasan pihak berkuasa tempatan mereka, tetapi saya cakap tiada hak cipta terpelihara pada reka papan tanda ini.

“Sesiapa sahaja boleh mengambil reka papan tanda ini, jika mereka berasa ia berkesan untuk mengajak tiap-tiap orang membanteras pembuangan sampah haram,” jelas David Marshel lagi.

Sebelum itu, M. Satees memberitahu bahawa beliau bersama-sama David Marshel akan mengeluarkan peruntukan MPSP masing-masing, untuk membiayai pemajuan 10 papan tanda tersebut, meliputi ketiga-tiga daerah, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

10 lokasi yang dicadangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MPSP, adalah di Taman Desa Damai, Taman Belatok (dekat Nibong Tebal), Taman Seri Kijang, Taman Bukit Minyak, Taman Tangling Jaya, Pusat Perniagaan Sungai Dua, Taman Semilang (dekat Seberang Jaya) serta Jalan Siram, Taman Kerapu dan Kampung Paya (dekat Butterworth).

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus