Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dinasihatkan supaya tidak memainkan isu perkauman dengan mengaitkan beberapa perbuatan tidak senonoh dalam himpunan BERSIH 4.0 di ibunegara baru-baru ini dengan DAP.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, DAP tidak pernah menyebarkan kebencian kaum sebagaimana didakwa oleh Presiden MCA itu.
“Saya ingin mengecam Liong Tong Lai kerana menuduh DAP berkompromi dengan keamanan dan keselamatan bangsa dengan apa yang berlaku dalam dalam perhimpunan Bersih 4.0.
“Pihak DAP telahpun menyatakan bahawa apa-apa perbuatan yang tidak senonoh, kalau ada pun (dalam himpunan Bersih 4.0), bukan daripada pihak DAP.
“Lagipun tidak adapun bendera Roket (DAP) dalam Bersih 4.0.
“Kalau tak setuju dengan Bersih 4.0, cakaplah...saya harap Liong Tong Lai tidak bertindak seperti pemimpin Umno dengan memainkan isu perkauman,” tegas Guan Eng yang juga Setiauhasa Agung DAP kepada wartawan di sini baru-baru ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut menyertai sidang media tersebut.
Tegas Guan Eng, DAP tidak pernah mengajar kaum Cina dengan budaya melampau seperti insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang oleh pihak tertentu dalam perhimpunan BERSIH 4.0, sebagaimana dituduh oleh Tiong Lai.
No comments:
Post a Comment