09 September 2015

Guan Eng umum panel bebas, mahu projek 'special span' dipercepatkan

KETUA Menteri (tengah) pada sidang media, selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan wakil JKR dan UEM Builders Berhad di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri mengumumkan lima nama Panel Jurutera Pakar Bebas untuk memastikan aspek keselamatan pembinaan rentang tuju istimewa (special span) bagi projek menaiktaraf Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) dari Batu Maung ke Queensbay, Sungai Nibong tetap menjadi keutamaan, sungguhpun Kerajaan Negeri mahu projek tersebut dapat disiapkan sesegera mungkin.

Mereka, Pengerusi G&P Professionals Group, Dato' Ir. Dr. Gue See Sew, Ir. Hew Yoon Leong (Pintar Jurutera Perunding), Dato' Ir. Lim Kok Khong (M.E.I Project Engineers Sdn. Bhd.), Ir. Tham Kam Weng (T. Corp. Engineering Sdn. Bhd.,) dan Ir. Addnan Mohd. Razali (Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP).

“Susulan daripada insiden kesesakan lalulintas pada 17 Ogos lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik Panel Jurutera Pakar Bebas.

“Panel tersebut akan meneliti pelan pengurusan lalulintas oleh pihak UEM Builders Berhad untuk menangani masalah lalulintas pada masa-masa lebuh raya ditutup pada aliran lalulintas.

“Oleh itu, perintah henti kerja ke atas 'Special Span' akan ditarik balik untuk setiap hujung minggu dari jam 11.00 malam Jumaat (hari) Jumaat hingga 5.30 pagi (hari) Isnin, selepas semua kos bayaran dibuat oleh UEM Builders Berhad.

“Apabila Panel Jurutera Pakar Bebas ini dilantik, bukanlah bermakna kita mahu melengah-lengahkan projek yang memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang ini.

“Kita pun mahu projek ini disiapkan sesegera mungkin, tetapi aspek keselematan tetap mesti diutamakan.

“Ini langkah pertama, kita (Kerajaan Negeri) boleh pertimbangkan cadangan-cadangan lain (daripada JKR dan UEM Builders Berhad), asalkan projek ini boleh berjalan lancar,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, Panel Jurutera Pakar Bebas turut mengkehendaki Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik firman Jurutera Penyemakan Bebas sepanjang tempoh pembinaan sehingga projek disiapkan, dengan kos bayaran ditanggung oleh agensi persekutuan tersebut.

Langkah itu, katanya, demi mengelak insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan raya tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi.

Ketetapan itu dibuat selepas Guan Eng berbincang dengan Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Persekutuan, Datuk Hasnol Mohamad Salleh, Mohd. Yusup Zahidin (Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Projek Khas Zon Utara JKR), Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.), dan Ahmad Fauzi Ali (Pengurus Projek UEM Builders Bhd.).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut menyertai majlis perbincangan tersebut.

Kerja-kerja pemajuan projek yang menelan belanja RM337 juta itu secara rasminya bermula pada 1 April 2014 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan pada tarikh 31 Mac 2016.

Panjang lebuh raya yang akan dinaiktarafkan tersebut adalah 4.4 kilometer.

Difahamkan, tiga bahagian rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah terpanjang di Malaysia, dengan ketinggian 390 meter, sepanjang 170 meter, selebar 18 meter, serta berat keseluruhannya 14,000 tan atau 6,400 berat berat minimum satu-satu bahagian konkrit tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus