25 August 2015

Zairil dihubungi, tuan tanah mahu runding isu Kampung Mutiara

ZAIRIL Khir Johari bersama-sama penduduk mengangkat kain rentang bantahan kepada pemaju di Kampung Mutiara di sini semalam, sungguhpun difitnah oleh pemimpin tertentu PAS hingga kini.
LIM Guan Eng, Lim Kit Siang serta pemimpin Kerajaan Negeri pada sidang media promosi Bersih 4.0 di Ibupejabat DAP Pulau Pinang, Jalan Rangoon, pada petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS - Zairil Khir Johari yang begitu tegas membantah pengusiran penduduk asal Kampung Mutiara akhirnya dihubungi oleh tuan tanah berkenaan, Peter Loke Leng Seak.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu memberitahu, beliau bersama-sama Timbalan Ketua Menteri 1, Dato' Mohd. Rashid Hasnon akan bertemu dengan Peter dalam tempoh dua minggu ini, demi mencari penyelesaian bersama.

“Di bawah garis panduan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana pelan pembangunan tidak akan diluluskan tanpa pampasan adil dan setimpal kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Sebenarnya tidak pernah ada rundingan atau mesyuarat pun antara tuan tanah dan wakil penduduk sebelum ini.

“Selepas saya membuat sidang media itu, kita akan bantah sebarang projek atas tanah itu sekarang atau pada masa hadapan, selagi tuntutan pampasan penduduk asal tidak diambil kira.

“Minggu lalu, dia (tuan tanah) ada lah kali pertama beliau menghubungi saya dan inilah kali pertama dia nak berbincang.

“Dia kata, dia bersedia untuk berbincang dalam masa dua minggu,” jelas Zairil semasa ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Bendera di sini, semalam.

WAKIL Gerakan Harapan Baru (GHB) Pulau Pinang mengadakan dailog dengan Zairil Khir Johari (tiga dari kiri) di Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera, Pulau Tikus, semalam.

Zairil dalam kenyataan bertulis hari ini turut menyelar pemimpin tertentu PAS yang didakwa mengfitnah, kononnya Kerajaan Negeri langsung tidak membantu penduduk kampung berkenaan.

“Sepertimana yang dinyatakan oleh Dato’ Ahmad Ismail, isu Kampung Mutiara bukannya isu politik dan tidak seharusnya diputar belitkan oleh sesiapa pun.

“Kerajaan Negeri difitnah Pas, walaupun usaha diiktiraf Umno,” kata Zairil.

Nada sama turut ditegaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam sidang media berasingan petang tadi.

“Sekiranya dia pohon (pelan pembangunan merancang), tidak akan diluluskan kerana Kerajaan Negeri berasa bahawa cara untuk menyelesaikan itu (melalui usaha merobohkan rumah penduduk asal tanpa pampasan) tidak boleh disokong oleh Kerajaan Negeri.

“Saya baca dalam surat khabar The Star, hampir setengah muka cerita dia (tuan tanah) marah sama Kerajaan Negeri.

“Kalau dia (tuan tanah) marah pun, kita tetap bersama dengan penduduk...yang penting Kampung Mutiara tetap ada (tidak dikosongkan),” tegas Guan Eng pada sidang media bersama-sama Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Steven Sim Chee Kiong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong) turut hadir pada sidang media mempromosi Himpunan Aman Bersih 4.0 mulai 29 Ogos depan.

Terdahulu, langkah pengusiran di atas sebidang tanah berkeluasan 3.5 ekar di Kampung Mutiara dilakukan berikutan penghakiman mahkamah bertarikh 3 Julai 2012, perintah bertarikh 20 April 2015, writ milikan bertarikh 25 Jun 2015, dan akhirnya, notis keluar bertarikh 9 Julai 2015.

Zairil bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu ke hadapan bersama-sama penduduk terbabit menuntut pampasan tertentu daripada tuan tanah, sehinggalah permohonan injuksi daripada pihak polis diterima oleh mahkamah.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus