13 July 2015

Singapura, Hospital Adventist kerjasama buka Pusat Onkologi RM40 juta

KETUA Menteri (depan, tengah) dan Dr. Afif Bahardin (depan, kiri) diiringi oleh Dr. Wesley Toh See Wei (depan, kanan) serta tetamu lain merakamkan gambar di pintu masuk utama AOC, Hospital Adventist Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS - Sebuah pusat onkologi dengan nilai pelaburan kira-kira RM40 juta dibuka di Hospital Adventist Pulau Pinang (PAH) mulai 30 Jun lalu, dengan kerjasama daripada Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah pengembangan perkhidmatan kepakaran di hospital tersebut sekaligus akan menggamit lebih ramai pelancong perubatan ke negeri ini.

“Orang ramai tertarik untuk mendapatkan rawatan kesihatan di Pulau Pinang disebabkan mutu perkhidmatan perubatan yang ditawarkan cukup berkualiti, harga yang begitu berpatutan, kemudahan komunikasi, keselesaan ruang rehat dengan peluang memulihkan semula kesihatan (pelancong perubatan) yang diyakini,” jelas Guan Eng pada Majlis Pembukaan Pusat Onkologi Adventist (AOC) di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut menyertai majlis tersebut.

Memetik statistik Kementerian Kesihatan, Guan Eng memberitahu bahawa sebanyak RM730 juta pendapatan negara pada tahun lepas adalah diperoleh daripada sektor pelancongan perubatan.

Di Pulau Pinang pula, jumlah pelancong kesihatan pada tahun 2014 meningkat kepada 351,673 pesakit, berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah 297,850 orang.

Secara puratanya, kira-kira 1,000 warga asing mendapatkan perkhidmatan kesihatan pada tiap-tiap hari, dengan anggaran 60 peratus mereka adalah pelancong perubatan.

Angka itu dilihat meningkat, memandangkan hasil pelancongan perubatan pada tahun 2013 berjumlah RM690 juta, berbanding RM574 juta, dengan kiraan 16 peratus bagi tahun sebelumnya.

Seramai 770,134 pesakit daripada seluruh dunia mendapatkan rawatan hospital di negara ini pada tahun 2013, berbanding 671,727 pesakit pada tahun 2012.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif PAH, Dr. Wesley Toh See Wei dalam ucapannya memberitahu, penubuhan AOC demi memastikan para pesakit kanser lebih menerima khidmat perundingan kepakaran.

"Onkologi dari NCCS juga akan menyediakan input bagi kebanyakan kes demi memastikan rancangan diagnosis dan rawatan yang kami lakukan senantiasa mengikut piawaian penjagaan kanser (yang diiktiraf) dunia," kata Dr. Wesley, sambil merakamkan penghargaan kepada Guan Eng.

Justeru, tambahnya lagi, AOC dilengkapi dengan Synergy Linac System, iaitu pemecut linear radioterapi maju.

"Linac boleh mengurangkan bilangan sel-sel yang sihat terjejas oleh radiasi kerana darjah ketepatan yang lebih tinggi dan jitu," tambah beliau.

Bercakap pada majlis sama, Pengarah NCCS, Profesor Soo Khee Chee pula memberitahu, pihaknya tidak sabar untuk membawa keluar hasil kerjasama kepakaran perubatan jitu di AOC tersebut untuk diiktiraf di kedua-dua negara berkenaan, hatta ke peringkat dunia,

"Perkongsian ini adalah lebih bermakna kerana PAH bukan sahaj (pusat pakar kesihatan yang berorientasikan) keuntungan," kata Khee Chee.

Di Malaysia, 37,000 kes kanser direkodkan pada tahun 2012, berbanding 32,000 sahaja bagi tahun 2008.

Angka itu, dijangka akan terus meningkat pada 56,900 pada tahun 2025 nanti.

Agensi Kaji Selidik Kanser Antarabangsa (IARC) mendedahkan, sebanyak 20,100 kematian direkodkan akibat sakit barah pada tahun 2008, dan meningkat pada angka 21,700 kematian pada tahun 2012.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus