Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
SERI DELIMA -
Kerja-kerja mengecat kesemua 26 blok rumah pangsa di Taman Tun Sardon
dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi, sebagai mengotakan janji
bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh menjelang
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 dulu.
Anaknya, Jagdeep Singh
Deo yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan
memberitahu, kerja-kerja berwajib yang dimulakan sejak bulan Mei
tahun lepas itu menelan peruntukan kira-kira RM1 juta.
"Ini merupakan
jumlah terbesar yang diperuntukkan oleh Jabatan Perumahan Negeri.
"Dua puluh dua blok
telah siap pada akhir tahun 2014, dan pada hari ini, fasa terakhir
baki empat blok akan bermula dengan kos RM198,000," jelas
Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat
kepada wartawan di sini baru-baru ini.
Seorang lagi anak Karpal,
Ramkarpal Singh yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor,
R.S.N Rayer (ADUN Seri Delima) dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya
Pulau Pinang (MBPP), Yusoff Noor turut serta pada sidang media itu.
Jagdeep memberitahu, 80
peratus kos fasa akhir projek tersebut ditanggung oleh Kerajaan
Negeri, manakala baki 20 peratus ditanggung oleh Rayer.
"Kami (Kerajaan
Negeri) akan terus melaksanakan apa yang kami cakap dan menyampaikan
janji-janji kami kepada rakyat, yang merupakan sesuatu yang tidak
dapat dikotakan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan," jelas
Jagdeep.
Beliau turur menggesa
Kerajaan Pusat supaya membalas surat rasminya bertarikh 19 Jun lalu,
yang menuntut penjelasan sama ada Putrajaya mahu meneruskan Projek
Penyelenggaraan Tabung 1Malaysia (TP1M) atau sebaliknya.
Ini kerana, katanya, TP1M
tidak lagi disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), sedangkan
kelewatan meluluskan 118 lagi permohonan di bawah skim tersebut
sehingga kini disebabkan amalan tadbir urus daripada Kerajaan Pusat
sendiri.
"Kita tidak boleh
meluluskan HAPPY (Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang)
untuk membiayai kos yang sepatutnya ditanggung oleh penduduk,
selagimana proses kelulusan TP1M jika masih ada (selepas RMK-11) ini
terus dilewat-lewatkan.
"Terdapat 118
permohonan tertunggak (membabitkan) projek kos rendah dan sederhana
rendah di Pulau Pinang di bawah TP1M ini, dengan jumlah anggaran
kira-kira sekitar RM28 juta," kata Jagdeep.
No comments:
Post a Comment