15 July 2015

Hukum musafir buka puasa Ramadan lalu jimak isterinya, tanya Saudara Baru MyIKUT

ZAINULFAQAR Yaacob dan isteri, Siti Hajjar Hassan.


SYARAK membenarkan buka puasa di bulan Ramadan atas sebab musafir atau sakit sahaja.

Firman Allah SWT bermaksud:

"dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." [Surah Al-Baqarah: 185]

Gambarannya, buka puasa atas sebab musafir adalah syar'ie.

Berbuka puasa selain daripada sebab musafir atau sakit adalah berdosa, sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa berbuka puasa sehari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah untuknya, puasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya.” [Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah]

Gambarannya, membatalkan puasa untuk melakukan jimak atau bersetubuh dengan isteri di luar maksud "musafir atau sakit" yang dibenarkan berbuka puasa secara syar'ie.

IKHTILAF ULAMAK:
Bagaimanapun wujud ikhtilaf ulamak mengenai kewajipan muslim (suami) itu, sama ada wajib kafarah puasa atau sebaliknya, disebabkan suami itu berjimak dalam keadaan tak berpuasa di bukan Ramadan.

1. Wajib kaffarah walaupun tak berpuasa
Ini pendapat jumhur ulamak, yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad dll.

Menurut mereka, kaffarah tetap dikenakan kerana kewajipan berpuasa di bulan Ramadan masih ditaklif ke atas suami itu.

Muslim mukallaf yang berbuka puasa walaupun tanpa sebab syar'ie, kewajipan berpuasa itu tetap tidak gugur ke atas dirinya.

Maka, larangan bersetubuh dengan iaitu pada siang hari dalam bulan Ramadan pun tetap tidak gugur ke atas diri suami yang berbuka puasa atas sebab tak syar'ie itu.

Apabila berjimak itu dilakukan ketika kewajipan berpuasa, maka diwajibkan lah juga kaffarah atas sebab persetubuhan itu.

2. Tiada kaffarah atas sebab tak berpuasa di bulan Ramadan

Mazhab Syafie pula berpendapat tidak dikenakan kaffarah atas sebab berjimak itu kerana ia tidak berpuasa.

Pendapat sedemikian kerana Asy-Syafi'iyyah tidak melihat pada asal kewajipan berpuasa, tetapi melihat pada wujud kondisi berpuasa atau tidak semasa persetubuhan itu dilakukan.

Menurut mazhab Syafie; persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah persetubuhan yang dilakukan ketika masih berpuasa (yakni puasa masih ada dan kemudian dibatalkan dengan persetubuhan).

Adapun persetubuhan yang berlaku setelah puasa batal, maka tidak wajib kaffarah.

Jika berdasarkan mazhab Syafie, persetubuhan saudara baru (mualaf) bersama isterinya itu boleh dikira tidak mewajibkannya kaffarah.

Ini kerana, Saudara Baru Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful Mewakili 10,000 Suara Reverts Pulau Pinang (MyIKUT) berkenaan jelas tidak berpuasa atas sebab musafirnya, maka persetubuhan itu adalah 'rahmat' ke atasnya yang dianugerahkan rukhsah (kelonggaran) ini.

"...(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran..." [Surah Al-Baqarah: 185]

Adapun bagi mereka yang berbuka puasa tanpa sebab syarak, seperti berbuka puasa untuk berjimak serta mengelak kaffarah, perbuatan dan niat itu lebih mendekati maksud "al-Hiyal" atau helah.

Kaedah fiqh menyebut:
Al-'Umuru bi maqasidiha (Urusan sesuatu itu bergantung pada tujuan akhirnya)

Sesungguhnya, salah satu Maqasid Asy-Syariah atau tujuan akhir di sebalik syariat berpuasa ini adalah menundukkan hawa nafsu syahawat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Orang yang berpuasa itu meninggalkan syahwat, makan dan minumnya.” [hadith riwayat Bukhari, no. 7492]

Maka, sudah tentu syahawat itu sendiri mesti dikawal, sebagaimana seperjelas dengan lebih terperinci dalam sabda Rasulullah SAW:

"Nabi SAW mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya." [Riwayat Abu Daud,  2/311, sahih]

Satu lagi dalil:

"Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab Nabi : Jangan!; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab Nabi: Ya (tiada masalah); kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata: Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)."

* Hadith riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat parawi Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif. (penulis: hadith dhoif tidak boleh dijadikan dalil hujahan)

Al-Qaradawi pula menambah, "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya" (Fiqh As-Siyam, hlm. 106 )

Saya cenderung berpegang dengan pendapat Al-Qardhawi ini.

Pun begitu, realiti yang ada di antaranya mengenai mukalaf melakukan ibadah berpuasa ini masih gagal menundukkan nafsu seks, maka, mereka (khusus bergelar suami) bertanya, bolehlah kami memilih untuk onani atau melancap untuk mengelak jimak di siang hari pada bulan Ramadan, serta risiko kafarrah kelak?

Jumhur ulamak mendapat bahawa onani membatalkan puasa, serta wajib untuk menggantiknya (tanpa perlu kaffarah).

Pun begitu, Sheikh Al-Bani pernah berfatwa, "Tidak ada dalil yang menunjukkan batalnya perkara tersebut, menyamakannya (istimna’/onani) dengan bersetubuh tidak tepat."

Oleh yang demikian, Asy-Shan’ani berkata: “Pendapat yang terkuat adalah tidak ada qadha’ (ganti) dan kaffarah kecuali bagi (mereka) yang melakukan persetubuhan, menyamakan sebab lain dengan persetubuhan jauh sekali (daripada kebenaran).”

Mereka yang cenderung berpegang pada pendapat ini menjelaskan, kaedah fiqh dalam ibadah di antaranya menyebut, "Al-aslu fi al-Ibadah At-Tahrim", yang bermaksud "asal sesuatu Salam ibadah itu adalah haram (melainkan ada dalil atas ibadah yang hendak dilakukan)."

Atas sebab itu, tidak boleh diqias onani itu sama seperti jimak, kerana qias dalam ibadah itu sendiripun adalah tidak boleh.

Sungguhnya "Solat Hormat Waktu" yang wujud dalam alam Melayu sendiri ditolak kerana tidak pernah ada dalih yang soreh lagi soheh mengenainya.

Begitu jualah perihal "Qadha Solat" yang diqiaskan pada qadha' (ganti) dalam ibadah puasa.

Sekali lagi, diperjelaskan bahawa tiada qias dalam hal ibadah.

Tiadalah diqiaskan perbuatan onani ini dengan jimak, kerana kedua-duanya sangat jauh perbezaannya.

Lagipun, onani itu sebenarnya melemahkan syahawat selepas keluar air mazi dan mani, bukanlah meninggikan, sekaligus mampu menundukkan syahwat  si suami atau mukallaf daripada melakukan sesuatu yang dilarang dalam agamanya (antaranya berjimak dengan isteri pada siang hari dalam bulan Ramadan).

Apabila tiada status jelas mengenai satu-satu perbuatan mukalaf yang ada berkaitan dengan ibadah kita, tentulah ada rukhsah walaupun sedikit ke atas hamba-Nya.

Sesungguhnya Allah SWT jualah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun atas para hamba-Nya yang lemah dalam menunaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan ini.

Wallahu 'alam.


No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus