KETUA Menteri (tujuh dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaraan Pembukaan SPA dengan memalu gong, sambil disaksikan oleh pemimpin Kerajaan Negeri yang lain di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
SEBERANG JAYA - Ketua
Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pembangunan SPA atau
Seberang Perai Arena bernilai RM11 juta yang siap dibina di sini
baru-baru ini merupakan 'hadiah' daripada Kerajaan Negeri atas
perjuangan rakyat bersama-sama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dalam memulihara sistem demokrasi negara.
Katanya, Anwar dianggap
sanggup mengorbankan diri hingga disabitkan bersalah lalu dipenjara
sejak 10 Februari lepas demi mempertahankan prinsip perjuangan rakyat
dalam melawan rasuah, pemborosan, ketirisan serta penyelewengan kuasa
yang membabitkan pemimpin tertentu Kerajaan Pusat.
“Inilah 'hadiah' dalam
bentuk pembangunan untuk manfaat rakyat dan bukan untuk kepentingan
diri sendiri.
“Sungguhpun beliau
(Anwar) tidak dapat merasmikan SPA ini, beliau akan senantiasa dalam
kenangan atas jasa dan baktinya kepada pengundi Permatang Pauh,”
ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pelancaran
Pembukaan SPA di sini baru-baru ini.
Isteri Anwar, Datuk Seri
Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Kajang, Selangor turut hadir sebagai wakil Ahli Parlimen Permatang
Pauh berkenaan.
Hadir sama, Yang
di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato' Law Choo
Kiang dan isteri, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon
dan isteri, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Setiausaha
Kerajaan Negeri, Dato' Farizan Darus, para Exco Kerajaan Negeri serta
beberapa wakil rakyat lain.
Menurut Guan Eng, projek
yang dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang
(PDC) tersebut berkonsepkan komuniti di atas sebidang tanah
berkeluasan 6.9 ekar, termasuk 25,000 kaki persegi dewan bankuet,
serta arena sukan.
Katanya lagi, dewan
bankuet berhawa dingin itu boleh menampung 100 meja jamuan atau 1,000
orang dalam satu-satu masa.
Itu, katanya lagi, tidak
termasuk ruang luar yang boleh memuatkan sehingga 300 orang.
Selain memenuhi acara
keraian, Guan Eng memberitahu, SPA juga turut dilengkapkan dengan
pejabat dan bilik-bilik mesyuarat, bilik AV, dewan tertutup dengan
pentas, dua gelanggang untuk permainan futsal atau bola keranjang
serta enam gelanggang badminton.
Tambah beliau, SPA turut
menyediakan 491 parkir kereta, tujuh parkir bas dan 77 tempat letak
motosikal.
“Saya juga ingin
mengucapkan tahniah kepada PDC yang telah menggunakan kepakaran
dalamannya, melalui anak syarikatnya sendiri iaitu PDC Consultancy
Sdn. Bhd. untuk merekabentuk projek Seberang Perai Arena ini,”
jelas Guan Eng yang Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah,
Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan
Islam.
Dalam perkembangan
berkaitan, SPA dipilih sebagai lokasi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina
Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment