Oleh: ZAINULFAQAR
YAACOB
PERAI -
Semua lori pembekal yang beroperasi sekitar Seberang Perai
kemungkinan akan dipasang dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) tidak
lama lagi, demi menjejaki dalang aktiviti pembuangan sampah di
ketiga-tiga daerah di sini.
Menurut Exco Kebajikan &
Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, cadangan itu
perlu dipertimbang oleh MPSP terlebih dahulu, sebelum dirujuk pada
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Ini masih cadangan
yang mesti diluluskan peringkat majlis (MPSP), sebelum dibawa masuk
ke mesyuarat Exco Kerajaan Negeri (seterusnya) akan dikuatkuasakan.
“Semua syarikat yang
terlibat dalam pengangkutan memungut sampah (serta) sisa-sia dari
kilang, mereka mesti didaftar bersama MPSP...dan mereka mesti
memasang GPS untuk tujuan pemantauan,” ujar Boon Poh yang juga Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada sidang media
bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif.
Boon Poh berkata demikian
selepas merasmikan Majlis Pelancaraan Pertandingan Mengumpul
Bahan-Bahan Kitar Semula Peringkat Sekolah-Sekolah Seberang Perai
2015 di pasar raya Megamal Pinang di sini baru-baru ini.
Sebelum itu, Maimunah
memberitahu bahawa saranan Boon Poh itu adalah langkah praktikal yang
boleh dilakukan oleh MPSP kelak.
“Lori MPSP memang sudah
ada GPS, apa yang dicadangkan oleh Exco tadi adalah lori-lori
pembekal yang mengangkut barang dan sampah dari kawasan kilang ini
masih belum ada GPS,” ujar Maimunah.
Maimunah memberitahu
bahawa langkah pemantauan agresif yang dilakukan oleh MPSP sebelum
ini direkodkan berjaya mengurangkan tapak pelupusan sampah haram
sehingga 72 lokasi sahaja pada tahun 2014, berbanding 138 pada tahun
sebelumnya.
Dalam perkembangan lain,
Maimunah memberitahu bahawa MPSP mensasarkan 150 sekolah akan
menyertai Anugerah Kitar Semula Peringkat Sekolah-Sekolah Seberang
Perai 2015 yang buat julung kalinya diadakan pada tahun ini.
“Ini, susulan kejayaan
MPSP menganjurkan Anugerah Sekolah Hijau untuk tahun keenam, yang
kini disertai 106 buah sekolah rendah dan mengengah pada tahun lepas
sahaja (2014).
“Pemenang (anugerah
kitar semula) ini akan diberi ganjaran berupa alat-alat senaman
'outdoor',” jelas Maimunah
lagi.
Pertandingan
Anugerah Kitar Semula Peringkat Sekolah-Sekolah Seberang Perai 2015
ini berlangsung dalam tempoh 30 Mac hingga 31 Oktober depan.
No comments:
Post a Comment